PERLIS yang bertandang ke Seremban untuk membuat perhitungan suku akhir pertama Piala Malaysia dengan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini mendapat suntikan semangat apabila gaji bulan September pemain Singa Utara sudah dilangsaikan semalam.
Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Ku Besry Ku Aziz berkata, pembayaran gaji pemain termasuk ketua jurulatih dan penolongnya serta pegawai pasukan dilakukan dalam dua peringkat.
Peringkat pertama membabitkan sejumlah RM80,000 dilakukan menerusi cek sebelum pertemuan menentang Selangor Sabtu lalu manakala baki berjumlah RM30,000 dikreditkan terus ke dalam akaun.
Mengenai perlawanan malam ini, Perlis berwaspada dengan taktik dan serangan yang bakal dihidangkan juara bertahan, Negeri Sembilan yang turun selaku tuan rumah.
Ketua jurulatih pasukan Singa Utara, Yunus Alif menyedari skuad Rusa itu memiliki ramai pemain berpengalaman yang mampu bermain dengan baik.
Justeru katanya, Perlis turun malam ini selaku pasukan underdog dan akan beraksi tanpa sebarang tekanan.
“Kita telah melihat beberapa perlawanan membabitkan Negeri Sembilan sebelum ini dan penyerang mereka mampu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan,” katanya.
Menyedari keampuhan jentera serangan lawan, Yunus telah mengingatkan pemain agar memperkukuhkan di bahagian benteng serta tidak hilang fokus.
Tags: Negeri Sembilan, Negeri Sembilan vs Perlis, Perlis, Piala Malaysia 2010, Prebiu, Suku Akhir