Real Madrid tunjuk jalan keluar buat Manchester City
Manchester City 1-1 Real Madrid | Liga Juara Eropah
KEMPEN Manchester City dalam Liga Juara-Juara Eropah berakhir dengan penyingkiran mengecewakan seawal peringkat kumpulan selepas seri 1-1 dengan Real Madrid, semalam.
Biarpun muncul juara Liga Perdana Inggeris musim lalu, City turut gagal untuk melepasi peringkat kumpulan pada saingan Eropah selepas gagal menyaingi Bayern Munich dan Napoli.
Kali ini, mereka mengalami kegagalan kedua berturut-turut dan itu menunjukkan bahawa anak-anak buah Roberto Mancini belum mampu mencabar pentas lebih besar.
Semalam, tuan rumah memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Sergio Aguero pada separuh masa kedua.
Namun, keputusan seri sekadar membolehkan mereka mengutip tiga mata daripada lima perlawanan.
Seri bermakna juara sembilan kali, Real melangkah ke peringkat 16 terbaik.
Gergasi bola sepak Sepanyol itu mengiringi dua kelab Jerman, Schalke dan Borussia Dortmund, Arsenal (England), Paris Saint Germain (Perancis) serta AC Milan (Itali) yang turut menempah tiket awal.
Juara dua kali, Porto yang menang 3-0 ke atas Dinamo Zagreb dalam Kumpulan A sudah pun melayakkan diri lebih awal sebelum turun dalam perlawanan kelima, begitu juga dengan pendatang baru Eropah, Malaga, yang seri 2-2 di Zenit St Petersburg untuk muncul juara Kumpulan C.
Sekiranya City berjaya mengekalkan kelebihan mendahului 2-1 di Madrid dalam aksi pembukaan Kumpulan D, September lalu pasti ceritanya berbeza.
Anak-anak buah Mancini sebaliknya membenarkan tuan rumah bangkit memenangi saingan 3-2, selain melepaskan dua mata ketika bertemu Dortmund di tempat sendiri, bulan lepas.
Kekalahan 1-3 kepada gergasi bola sepak Belanda, Ajax pada 24 Oktober lalu hampir menutup pintu mereka untuk melangkah jauh.
Kegagalan ini cukup mengecewakan penjaga gol City, Joe Hart kerana menganggap pasukannya sering tidak bernasib baik.
“Kami dihukum dalam setiap perlawanan. Kami kalah dalam dua perlawanan di tempat lawan dan tidak pernah menang di tempat sendiri. Kami mengharungi kempen yang buruk dan ia sangat.. sangat mengecewakan.
“Malang sekali kami tidak dapat melaksanakan tugas pada ketika kami rasa kami sepatutnya mampu melakukannya,” ujar Hart.
Rakan sejawat Mancini, Jose Mourinho, yang membuat penampilan ke-100 sebagai jurulatih dalam saingan Eropah, terdesak untuk melakar sejarah menjadi jurulatih pertama membimbing tiga kelab berbeza menjuarai trofi berprestij itu.
Mourinho sebelum ini pernah membawa Porto dan Inter Milan muncul juara Eropah, tetapi belum berjaya bersama Real, penyandang juara La Liga.
Kata Mourinho, kali terakhir dua pasukan yang dibimbingnya menamatkan peringkat kumpulan sebagai naib juara, mereka berjaya menutup kempen sebagai juara Eropah.
“Jadi saya tiada apa untuk dirungut apabila kami menduduki tempat kedua di belakang Dortmund dalam Kumpulan D.
“Pengalaman lalu saya mengatakan, ia (naib juara kumpulan) tidak penting dan tidak membawa sebarang makna,” kata Mourinho.
Semalam, Real membuka jaringan seawal minit ke-10 menerusi bintang penyerang Perancis, Karim Benzema yang menyudahkan hantaran cantik hasil gerakan Luka Modric dan Angel Di Maria.
City dihadiahkan penalti, 18 minit sebelum tamat permainan selepas Alvaro Arbeloa menjatuhkan Aguero dalam kotak penalti. Dia turut dilayangkan kad kuning kedua.
Aguero berjaya menewaskan penjaga gol Real, Iker Casillas, namun setakat itu saja jaringan City.
Tiada tambahan gol diperoleh berdepan 10 pemain lawan.
Real mengiringi Dortmund ke saingan kalah mati daripada Kumpulan D selepas Dortmund membelasah Ajax 4-1 dalam satu lagi perlawanan. Kelab Jerman itu mengungguli kumpulan dengan 11 mata, tiga mata di depan Real. — Utusan
Keputusan Liga Juara Eropah | Manchester City vs Real Madrid | Manchester City lawan Real Madrid | Manchester City 1-1 Real Madrid
Luahan Perasaan