Real Madrid juara Piala Raja Sepanyol 2011
Mourinho hadiahkan trofi pertama buat Real Madrid sejak 2008
REAL Madrid menewaskan Barcelona 1-0 selepas waktu tambahan untuk menjulang Piala Sepanyol, seminggu sebelum pertemuan kedua-dua pasukan di separuh akhir Liga Juara-juara Eropah
Gol tandukan Cristiano Ronaldo pada masa tambahan memastikan Jose Mourinho menjulang trofi pertamanya bersama Real Madrid, yang memenangi piala tersebut buat kali ke-18 dan trofi pertama kelab itu sejak 2008.
Real beraksi baik pada separuh masa pertama sebelum Barcelona mengawal keadaan di babak kedua namun kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan dalam tempoh permainan biasa.
Barcelona menurunkan Javier Mascherano untuk bergandingan dengan Gerard Pique di barisan pertahanan setelah kapten Carles Puyol masih lagi cedera manakala Real tidak menurunkan walau seorang penyerang sekali pun dengan menggandingkan Mesut Ozil dengan Ronaldo dan Angel Di Maria di barisan serangan.
Penjaga gol Real, Iker Casillas beberapa kali menyelamatkan keadaan buat pasukan ibu kota itu dan berjaya mengekang kehebatan Lionel Messi, Pedro dan David Villa untuk memastikan gawangnya tidak dibocori.
Di Maria pula melihat sepakannya ditepis keluar oleh penjaga gol, Pinto sejurus sebelum tamat babak kedua, namun hantaran lintangnya dalam masa tambahan berjaya disambut dengan baik oleh Ronaldo untuk memastikan gol tunggal perlawanan serta kejayaan buat Real Madrid. — Arena.MY
Pingback: Piala Raja Sepanyol rosak terjatuh dalam pesta | Sokernet | Sokernet
Pingback: Real Madrid akhiri kemarau tanpa trofi | Sokernet | Sokernet