Manchester United makin hampir

Chelsea menang tipis 1-0 ke atas Wigan

MANCHESTER United terus mengukuhkan cengkaman mereka di persada Liga Perdana Inggeris selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Fulham di Old Trafford malam tadi.

Dimitar Berbatov dan Antonio Valencia menghadiahkan kemenangan bergaya itu apabila masing-masing meledak gol berharga untuk United pada minit ke-11 dan 32.

Kemenangan itu menyaksikan United terus unggul mendahului kedudukan liga dengan 69 mata.

“Kami semakin hampir untuk merealisasikan hasrat menjuarai liga. Kemenangan ini juga membuktikan bahawa United serius dengan sasaran mempertahankan gelaran,” kata Berbatov selepas perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan lain yang berlangsung serentak di Stamford Bridge, Chelsea terpaksa bekerja keras untuk menewaskan kelab tercorot Wigan dengan 1-0 di Stamford Bridge.

Pun begitu, gol tunggal yang dijaringkan Florent Malouda pada minit ke-67 itu sudah cukup untuk membawa Chelsea ke tangga ketiga liga dengan mengumpul 56 mata.

Sementara itu pertemuan di White Hart Lane, menyaksikan Tottenham menundukkan Stoke City 3-2.

Peter Crouch yang masih kecewa setelah dibuang padang ketika menentang Real Madrid pada perlawanan Liga Juara-Juara Rabu lalu, seolah-olah melepaskan geram dengan meledakkan dua gol, masing-masing pada minit ke-11 dan 34. Satu gol lagi dijaringkan menerusi Modric pada minit ke-18.

Gol Stoke pula dijaringkan oleh Etherington (M27) dan Jones (M41).

Dalam pertemuan lain, turut menyaksikan Blackburn terpaksa terikat 1-1 dengan Birmingham.

Selain itu Bolton juga berjaya menewaskan West Ham 3-0, West Brom menang keatas Sunderland 3-2 dan Everton menumpaskan Wolves 3-0.

Pada perlawanan awal, hasrat Wolves untuk keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana England terus gagal selepas dibelasah 3-0 oleh Everton di gelanggang keramat mereka di Molineux.

Ia merupakan jaringan kemenangan terbesar pernah dicatatkan oleh Everton dalam saingan liga musim ini.

Kesemua gol Everton itu dihasilkan pada separuh masa pertama menerusi Jermaine Beckford, Phil Neville dan Diniya Bilyaletdinov, sekali gus mengekalkan kedudukan mereka di tempat ketujuh.

Ini merupakan kemenangan keenam berturut-turut diraih oleh skuad bimbingan David Moyes itu.

Bagi pengurus Wolves, Mick McCarthy, kekalahan itu semakin menyukarkan misi mereka untuk terus kekal dalam Liga Perdana musim depan dan selepas aksi semalam, mereka masih menghuni tangga kedua tercorot dengan 32 mata.

Mereka masih ada enam lagi perlawanan untuk diharungi.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>