Ferguson: Gelaran milik kami
PENGURUS Manchester United, Alex Ferguson melaungkan amaran kepada barisan pencabar mereka bahawa gelaran Liga Perdana England musim ini bakal menjadi milik pasukannya dengan saingan berbaki tujuh perlawanan.
United bangkit daripada ketinggalan 0-2 di Upton Park malam kelmarin untuk menewaskan West Ham 4-2 hasil hatrik Wayne Rooney dan satu gol Javier Hernandez.
“Kami beraksi seperti juara. Kami terus berusaha dan langsung tidak hilang keyakinan. Ia sesuatu yang cukup menarik.
“Kami berjaya mendominasi babak kedua dan memang layak untuk menang. Inilah persembahan sang juara setakat ini. Walaupun Arsenal kurang satu perlawanan, saya tak rasa ia satu kelebihan.
“Saya rasa, kami cuma perlu memenangi kesemua baki perlawanan kami dengan empat aksi di tempat sendiri dan tiga di tempat lawan. Kami berharap dapat memanfaatkannya,” kata Ferguson.
Dua sepakan penalti Mark Noble memberikan pendahuluan selesa buat West Ham dan pengurusnya, Avram Grant berasakan kapten United, Nemanja Vidic sepatutnya dibuang padang setelah mengasari Demba Ba.
“Saya tak nampak insiden itu tetapi Vidic pemain terakhir di situ dan dia menjatuhkan Demba. Sepatutnya kad merah,” kata Grant.
Ferguson turut bersetuju sambil berkata: “Dia (Vidic) sepatutnya boleh dibuang padang. Mungkin nasibnya baik pada perlawanan ini.”
Jaringan pertama Rooney menerusi sepakan percuma menarik malam kelmarin merupakan gol ke-100 peribadinya untuk United bagi saingan liga. - AFP/Kosmo
Luahan Perasaan