Ferguson cabar Rooney jaring 40 gol
Manchester United vs West Bromwich [2-0]
PENGURUS Manchester United, Sir Alex Ferguson dilaporkan telah mencabar penyerang pasukan itu, Wayne Rooney untuk mencatat rekod peribadi dengan menjaringkan 40 gol musim ini.
Penyerang sensasi United itu berjaya membantu skuadnya kembali menerajui Liga Perdana England selepas menggandakan jaringannya ketika menewaskan West Brom 2-0 awal pagi semalam.
Gol pertama diperoleh pada minit ke-35 dan jaringan seterusnya menerusi sepakan penalti selepas pemain tengah West Brom, Keith Andrews menolak Ashley Young di dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-75.
Rooney yang telah menjaringkan 122 gol sejak bersama United pada tahun 2004, berjaya mengumpul 20 gol dalam saingan liga domestik pada musim ini, ketinggalan lima jaringan di belakang penyerang Arsenal, Robin van Persie.
Bagaimanapun, Ferguson berharap Rooney mampu mencapai sasaran tersebut (40 gol) sebagaimana usaha United untuk mengungguli liga dan kekal dalam aksi Liga Europa pada musim ini.
Pada saingan liga tempatan, United berjaya mengatasi musuh terdekatnya, Manchester City dengan kelebihan satu mata.
Bagi Liga Europa pula, skuad kendalian Ferguson itu perlu menang besar ke atas Athletic Bilbao sekiranya mahu mara selepas ditumpaskan 2-3 ketika pusingan pertama di Old Trafford baru-baru ini.
“Asalkan dia (Rooney) dapat menjaringkan 40 gol, saya sudah berasa sangat gembira kerana saya pernah mencabarnya. Dia sangat cergas dan pasti mampu melakukannya.
“Jaringan pertamanya sangat hebat (ketika menentang West Brom). Masa larian yang dilakukan amat pantas dan dia (Rooney) menjaringkan gol dengan sangat baik,” kata Ferguson.
Selepas menyaksikan kebangkitan yang dilakukan oleh United untuk memintas City yang sebelum ini mendominasi liga domestik, Ferguson menberitahu bahawa beliau hanya risau tentang kedudukan United pada akhir musim nanti.
“Saya tidak kisah berada pada kedudukan terbaik sekarang kerana saya tidak mementingkan posisi pasukan untuk masa ini.
“Namun, saya tetap gembira kerana mampu mendahului (City) dengan satu mata. Beberapa minggu lalu kami ketinggalan tujuh mata di belakang.
“Saya juga berterima kasih kepada semua pemain dan skuad yang mampu bertahan kerana sebelum ini semua orang tahu bahawa kami dihimpit pelbagai masalah, terutamanya kecederaan ramai pemain utama,” jelas Ferguson
Luahan Perasaan