Penentuan juara buat Barcelona, Real Madrid

Barcelona vs Real Madrid - Liga Sepanyol 2011/2012
Lionel Messi (Barcelona) vs Cristiano Ronado (Real Madrid) | Liga Sepanyol 2011/2012

Barcelona vs Real Madrid
Liga Sepanyol 2011/2012
Nou Camp, 2.00 pagi LIVE Astro 811

Dua musuh tradisi - Barcelona dan Real Madrid akan bertembung dalam satu lagi aksi El Clasico awal pagi esok.

Baik Barcelona mahupun Real, kedua-dua pasukan itu turun dalam misi memburu tiga mata berharga yang bakal menentukan nasib mereka menjulang trofi juara Liga Sepanyol musim ini.

Tatkala saingan liga berbaki lima perlawanan, Real akan turun di Nou Camp dengan kelebihan empat mata ke atas musuh ketat mereka itu.

Sedar hanya kemenangan atau mencatat keputusan seri sahaja yang mampu menghalang dominasi Barcelona, Real bertekad meraih tiga mata penuh, sekali gus mencerahkan peluang mereka bergelar juara liga buat kali pertama dalam tempoh empat musim.

Bulan lalu, Real selesa mendahului Barcelona dengan kelebihan sepuluh mata. Namun, jurang tersebut semakin dekat apabila mereka mencatat keputusan seri dalam tiga daripada tujuh perlawanan terakhir, manakala Barca pula memenangi kesemua 11 aksi terakhir.

Lebih menarik, pertemuan El Clasico awal pagi esok diadakan selepas Real dan Barcelona tewas kepada lawan masing-masing pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara.

Rabu lalu, Real tunduk 1-2 kepada Bayern Munich di Stadium Allianz Arena, manakala Barcelona gagal menjaringkan gol dalam 24 percubaan ketika kalah 0-1 kepada Chelsea di Stamford Bridge sehari kemudian.

Dalam usaha mengurangkan tekanan ke atas pemain- pemainnya, jurulatih Barcelona, Pep Guardiola sekali lagi mengakui bahawa misi mereka untuk menjuarai liga musim ini adalah satu tugas yang mustahil.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku Sabtu ini (awal pagi esok) dan juga Selasa depan (aksi kedua Liga Juara- Juara, awal pagi Rabu).

“Tetapi ketika ini apa yang saya rasa ialah kami sudah berjaya,” kata Guardiola mengenai kejayaan yang direkodkan Barcelona dalam beberapa musim yang lalu.

Sementara itu, jurulatih Real, Jose Mourinho mungkin akan merehatkan beberapa pemain utamanya menjelang aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu minggu depan.

Bagaimanapun, Mourinho mungkin menurunkan Karim Benzema atau Gonzalo Higuain di jentera serangan untuk bergandingan bersama Cristiano Ronaldo.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>