Duka England di Piala Dunia belum terubat
KEKECEWAAN England pada kempen Piala Dunia lalu masih belum terubat meskipun menang 4-0 ke atas Bulgaria pada aksi kelayakan Euro 2012, Sabtu lalu.
Begitupun, kapten skuad Three Lions, Steven Gerrard menjelaskan, kemenangan besar tersebut adalah satu ‘reaksi semula jadi’ pasukan itu.
Kemenangan besar itu adalah yang terbaru dilakar anak-anak buah Fabio Capello sejak membelasah Croatia 5-1 tahun lalu.
Gerrard berkata: “Kami telah memberi satu jawapan dengan reaksi kami (kemenangan besar) ini.
“Saya telah beritahu, selepas kekecewaan pada Piala Dunia, ia memerlukan sedikit masa sebelum pasukan ini bersedia memberi cabaran kepada pasukan hebat yang lain.”
Penggerak utama kepada prestasi terbaik England pada Sabtu lepas sudah pastinya ayam tambatan, Wayne Rooney.
Selepas gagal menyinar pada kempen Piala Dunia, bintang Manchester United itu mula mendapat semula keyakinannya dengan mencipta kesemua empat peluang gol England dalam perlawanan tersebut.
Ketika Jermain Defoe mencuri tumpuan di atas jaringan hatrik pertamanya buat England, Gerrard bagaimanapun tetap memberi pujian terhadap usaha keras Rooney.
“Amat penting untuk kita bukan saja memberi semua pujian kepada Jermain,” kata Gerrard yang menggambarkan pemain Tottenham itu sebagai penyerang berbahaya.
“Wayne juga mencipta semua peluang gol tersebut, jadi saya rasa gandingan mereka adalah kunci utama kejayaan kami.
“Dari bahagian serangan sehingga ke pertahanan, kami beraksi dengan baik di atas padang.”
Aksi cemerlang penjaga gol, Joe Hart yang membuat penampilan pertama juga membantu England mengekalkan rekod bersih di gelanggang sendiri.
“Saya rasa dia berjaya membuktikan bahawa dia layak menjadi penjaga gol utama England.
“Persembahannya dalam dua perlawanan terakhir sangat menakjubkan,” kata Gerrard mengenai Hart.
Satu lagi gol England disumbangkan oleh Adam Johnson.
Luahan Perasaan