Brazil buru kemenangan sulung

BRAZIL berkemungkinan tidak akan menurunkan dua tonggak utamanya, Robinho dan Ramires pada pertemuan menentang Paraguay dalam saingan Kumpulan B kempen Copa America 2011 awal pagi esok.

Ini kerana, jurulatih Brazil, Mano Menezes mahu melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utamanya.

Ia rentetan daripada keputusan seri tanpa jaringan yang dicatatkan anak-anak buahnya pada aksi sulung menentang Venezuela, Ahad lalu.

“Bagi mendapatkan sedikit kelainan dalam corak permainan kami, saya hanya akan mengumumkan kesebelasan utama yang akan diturunkan sebelum bermulanya perlawanan.

“Seperti yang saya pernah katakan sebelum ini, selepas dua minggu kejohanan berlangsung, saya mahu mencari kelainan bagi menyaksikan pasukan tampil dengan corak permainan berbeza,” kata Menezes.

Menurutnya, beliau mungkin akan mempertaruhkan kepercayaan terhadap tonggak veteran yang beraksi pada kempen Piala Dunia 2010, Elano bagi menggantikan Ramires yang sebelum ini mengemudi jentera tengah.

Malah Menezes juga kini sedang dalam perancangan untuk mencuba bintang muda, Lucas bagi mengambil alih tempat Robinho di bahagian serangan.

“Beraksi bersama skuad kebangsaan, saya mengharapkan pemain- pemain semua dapat mempamerkan peningkatan dari semasa ke semasa secara berpasukan.

“Sekiranya sekadar mahu menunjukkan kebolehan individu masing- masing, ia hanya akan mengundang kesukaran buat kami,” jelas Menezes.

Setakat ini, keempat-empat pasukan dalam Kumpulan B masih gagal merekodkan sebarang jaringan selepas Paraguay turut mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Ecuador pada aksi sulung mereka Ahad lalu.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>