Argentina pamer kebangkitan

Argentina vs Costa RicaTUAN rumah, Argentina akhirnya mempamer kebangkitan daripada aksi lesu dalam kempen awal bola sepak Copa America apabila membenam Costa Rica 3-0 semalam, untuk melangkah ke suku akhir dengan penuh bergaya, berterima kasih kepada jaringan Sergio Aguero dan Angel Di Maria.

Aguero yang berada dalam kesebelasan utama untuk mengetepikan Carlos Tevez di bangku simpanan dalam rombakan yang dilakukan ke atas jentera serangan, meletakkan Argentina di depan menerusi sepakan terakhir yang diperoleh sebelum babak pertama tamat.

Hanya enam minit selepas separuh masa kedua disambung, penyerang Atletico Madrid itu meledakkan gol kedua untuk melebarkan kedudukan 2-0, sebelum Di Maria mengecewakan skuad Ticos buat kali ketiga pada minit ke-63 untuk membawa Argentina menyertai Colombia, Chile, Peru serta Venezuela, yang sudah mengesahkan tiket suku akhir lebih awal.

“Ini adalah tonik sebenar yang kami perlukan. Kami bermain dengan baik, menjaringkan beberapa gol yang bagus dan beraksi sebagai sebuah pasukan dengan mantap. Sekarang, tugas kami adalah memastikan momentum ini berterusan,” ujar Aguero.

Javier Pastore, pemain gantian yang dibawa masuk pada saat akhir untuk menggantikan Gonzalo Higuain di bahagian tengah pula percaya, pasukannya mula menunjukkan karakter sebagai juara dan kemenangan semalam adalah langkah besar untuk menjulang mereka ke peringkat tertinggi.

“Kemenangan ini sangat penting, apatah lagi kami menunjukkan satu persembahan terpuji sebagai sebuah pasukan. Malah, Argentina sudah menunjukkan karakter sebenar sebagai juara,” katanya.

Selepas berdepan tekanan hebat ekoran aksi hambar pasukannya pada awal kempen kejohanan, jurulatih Argentina, Sergio Batista melakukan empat rombakan penting dengan Fernando Gago, Di Maria, Higuain dan Aguero dibawa masuk menggantikan Ever Banega, Esteban Cambiasso, Ezequiel Lavezzi dan Tevez.

Penyokong tuan rumah di Stadium Mario Alberto Kempes di Cordoba, bagaimanapun terpaksa menunggu hingga masa kecederaan babak pertama untuk melihat kebuntuan dipecahkan, selepas penjaga gol Costa Rica, Leonel Moreira gagal menepis percubaan Gago dengan baik, sekali gus membuka peluang kepada Aguero untuk merembat bola muntah.

Bintang penyerang Barcelona, Lionel Messi mencipta gerakan gol kedua sebaik permainan disambung apabila menghantar bola cantik untuk disempurnakan Aguero. Ini kali pertama, Messi akhirnya menyerlahkan prestasi sebenar selepas gagal menonjol dalam dua perlawanan terdahulu, yang menyaksikan pasukan itu sekadar seri.

Di Maria melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya dengan meledak gol ketiga, sekali gus menghidupkan harapan Argentina untuk merampas kembali kejuaraan dan menamatkan kemarau 18 tahun tanpa sebarang gelaran besar.

Argentina menamatkan kempen Kumpulan A dengan mengumpul lima mata daripada tiga perlawanan untuk muncul naib juara di belakang Colombia yang mengutip tujuh mata. Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.

Argentina belum mengetahui siapakah lawan yang bakal ditemui di suku akhir, Sabtu ini, namun Aguero menegaskan, apa yang penting buat pasukan ketika ini adalah fokus kepada permainan sendiri.

“Kami kena meneruskan prestasi ini, tidak kira siapa lawan kami. Kami harus berfikir bahawa kami pasukan yang lebih baik daripada pasukan lain,” katanya.

Argentina, yang menjadi tuan rumah kejohanan berdepan tekanan hebat untuk mencari kejuaraan besar pertama sejak kali terakhir merangkul trofi Copa America pada 1993.

Semalam, 54,000 penonton, termasuk wira mereka ketika merangkul Piala Dunia 1978, Mario Kempes antara yang hadir memberi sokongan dan berdiri memberi penghormatan kepada mereka sebaik permainan berakhir.

Info Bola Sepak Terus ke Emel Anda
Pastikan anda tidak ketinggalan post-post yang menarik di sini! Sertai mailing list kami dan semua post akan dihantar terus ke email anda!.
We hate spam. Your email address will not be sold or shared with anyone else.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>