Argentina waspada jerat Bolivia
Argentina vs Bolivia
LIVE Astro Supersports, 8.45 am
TUAN rumah, Argentina mahu memulakan kempen Copa America 2011 dengan langkah kanan apabila bertemu Bolivia pada aksi sulung Kumpulan A pagi ini.
Ia merupakan pentas terbaik buat Argentina menamatkan kemarau kejuaraan mereka pada kejohanan tersebut setelah hampir dua dekad.
Daripada aspek positif, Argentina telah menjuarai saingan Sukan Olimpik buat dua kali berturut-turut dan mereka bakal diperkuatkan dengan bintang terbaik dunia, Lionel Messi.
Namun daripada sudut negatif, para pemain senior Argentina dilihat bergelut untuk layak ke Piala Dunia 2010 dan akhirnya skuad kendalian Diego Maradona ketika itu tersungkur di peringkat suku akhir.
Saingan Copa America 2011 bakal menjadi pentas baharu bola sepak Argentina selepas ‘era Maradona’ apabila mereka kini dikendalikan jurulatih Sergio Batista.
Kali terakhir Argentina menjuarai Copa America ialah pada 1993 menerusi dua jaringan Gabriel Batistuta untuk mengatasi Mexico pada aksi final, sekali gus memberikan kejuaraan terakhir buat mereka.
Justeru, kapten Argentina, Javier Mascherano berasakan inilah masa terbaik untuk mereka menamatkan kemarau kejuaraan tersebut.
“Kami beraksi di tempat sendiri. Ia ternyata bakal memberi kelebihan. Argentina perlu menang untuk kembali berada di kedudukan teratas.
“Memang sudah lama kami tidak menjulang trofi kejuaraan,” kata Mascherano.
Bintang Barcelona itu turut mengakui bahawa mereka mahu menyelesaikan tugas yang gagal disempurnakan pada Piala Dunia 2010 apabila tewas kepada Jerman.
“Kami kini mempunyai jurulatih yang berbeza dan majoriti skuad juga telah dirombak. Ini kumpulan pemain yang baharu dengan cita-cita baharu untuk dicapai,” jelas Mascherano.
Luahan Perasaan