Messi tenggelam di Copa America
ARGENTINA memulakan kempen Copa America dengan dua keputusan seri dan langsung tidak kelihatan seperti pasukan yang mampu menamatkan kemarau kejuaraan dua dekad, tetapi Lionel Messi bertegas mereka akan bangkit dan mara ke suku akhir.
Messi yang dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia sekali lagi terbukti handal sepanjang musim ini ketika menyarung jersi Barcelona, tetapi apabila bersama Argentina, kehebatannya seakan tenggelam dengan pasukan itu sekadar seri ketika menentang Bolivia dan Colombia.
Kegagalan memenangi aksi final berturut-turut ke atas musuh ketat, Brazil, membayangi siri kekecewaan Argentina dalam kempen Copa sejak 1993, dan dengan kejohanan kali ini berlangsung di laman sendiri, tekanan semakin memuncak buat Messi dan rakan sepasukan.
Namun Messi yakin pasukannya mampu bangkit menjelang perlawanan bertemu Costa Rica di Cordoba, hari ini.
“Saya yakin dan bersedia untuk cabaran seterusnya,” kata Messi yang kemampuannya bersama skuad kebangsaan mula dipersoalkan. “Pasukan ini akan layak dan saya berkeyakinan penuh.”
Dalam satu perlawanan persahabatan Mac lalu, Costa Rica mengikat Argentina dengan keputusan seri tanpa jaringan - keputusan yang perlu dielakkan Argentina - andai mahu mara ke suku akhir.
Bekas jurulatih Argentina, Alfio Basile, yang mengendali pasukan itu menjuarai kejohanan 1993, memberitahu: “Satu tragedi jika kami tidak layak ke suku akhir. Tetapi kami mampu memenanginya.”
Basile turut menuntut jurulatih sekarang, Sergio Batista membuat perubahan besar jika dirasakan perlu.
“Saya terfikir untuk menukar sistem,” kata Batista yang mungkin akan menggandingkan Messi dan Gonzalo Higuain, serta memasukkan Sergio Aguero dan Angelo di Maria yang bakal menyaksikan Carlos Tevez dan Ezequiel Lavezzi kembali ke bangku simpanan.
Luahan Perasaan