Peluang kedua buat Brazil
SEPERTI Argentina, Brazil bermula hambar pada saingan Copa America tetapi mereka memiliki peluang kedua untuk memukau apabila turun menentang Paraguay di Cordoba, awal pagi esok.
Keputusan seri pada perlawanan pertama dengan Venezuela bagaikan satu malapetaka besar buat juara dunia lima kali itu. Bagaimanapun mereka boleh menarik nafas lega sekiranya mampu meraih tiga mata dengan menjinakkan Paraguay.
Dengan Paraguay turut menghadapi masalah ketika menentang Ecuador, setiap pasukan dalam Kumpulan B memulakan perlawanan kedua dengan jumlah mata yang sama.
Ketika Venezuela cuba untuk mengatasi Ecuador sekali gus mensasarkan layak ke suku akhir buat kali kedua berturut-turut, Brazil pula cuba tampil untuk membuktikan kehambaran perlawanan pertama hanya bersifat sementara, kata jurulatih Mano Menezes.
Latihan pertengahan minggu di Campana, utara Buenos Aires, menyaksikan Menezes melakukan banyak percubaan termasuk sesuatu yang mungkin pasti, Robinho digugurkan ke bangku pemain simpanan.
Robinho dijangka memberi laluan kepada Elano dan Ramires mungkin digantikan Lucas walaupun Menezes enggan mendedahkan kesebelasan utamanya.
“Saya tidak boleh mengesahkan perubahan. Saya hanya akan bercakap mengenai barisan pemain menentang Paraguay sebelum perlawanan,” tegasnya.
Robinho, pemain dianggap tua dalam skuad muda yang mengintai peluang ke Piala Dunia 2014 tersenyum ketika sesi latihan dan sikapnya itu terserlah dalam skuad yang mahu melupakan kekecewaan berdepan Venezuela.
Brazil menuju ke Cordoba semalam dan kemudian kembali semula ke Campana untuk mempersiapkan diri bagi perlawanan terakhir kumpulan menentang Ecuador Khamis depan, juga di Stadium Mario Kempes di Cordoba.
Paraguay pula perlu mengekang bintang muda Brazil, Neymar, kata pemain pertahanan Paulo da Silva.
“Dia pantas, cergas dan mampu mencetus masalah dan kami perlu berhati-hati mengawalnya,” kata bintang Zaragoza, Da Silva.
Da Silva berkata, Paraguay mesti memberikan tumpuan penuh hingga ke wisel penamat kerana kesilapan walaupun sesaat bermakna lawan mampu menghukum mereka.
Luahan Perasaan