Copa America 2011: Costa Rica ganti Jepun

COSTA Rica bersetuju menerima jemputan bagi menggantikan Jepun pada kejohanan Copa America 2011, kata presiden Persekutuan Bola Sepak negara Amerika Tengah (CONMEBOL), Eduardo Li.

“Kami membuat keputusan untuk mengambil bahagian di Copa America,” kata Li yang skuadnya akan mengisi satu daripada dua tempat untuk pasukan jemputan pada kejohanan bermula 1 Julai 2011.

“Kami akan menyenaraikan skuad Olimpik, iaitu skuad bawah 23 tahun yang diperkuatkan lima pemain melebihi usia 23 tahun.”

Jepun menarik diri selepas gagal mendapatkan pelepasan untuk pemainnya yang berpangkalan di Eropah dan berdepan masalah dengan kelab Liga-J yang musim kejohanannya dilanjutkan sehingga Julai berikutan gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu Mac lalu.

“Kami mohon maaf kerana mengumumkan bahawa Jepun tidak boleh menyertai Copa America 2011 di Argentina,” kata kenyataan yang dihantar oleh Persatuan Bola Sepak Jepun kepada AFA.

Sebelum ini, Jepun merancang untuk menyertai kejohanan bola sepak di Amerika Selatan itu malah mereka juga dijemput untuk beraksi selepas bencana alam yang melanda Jepun.

Sungguhpun Jepun sebelum ini membuat keputusan untuk menyertai namun mereka terpaksa berhadapan masalah apabila terdapat beberapa pasukan di Eropah yang sukar untuk melepaskan pemain Jepun mereka kerana musim baru yang bakal bermula pada Ogos.

Dalam Copa America kali ini, Jepun asalnya diundi dalam kumpulan A bersama tuan rumah Argentina, Colombia dan Bolivia.

Costa Rica sememangnya telah meminta untuk menyertai kejohanan tersebut, setelah mendapati Jepun sukar untuk membentuk skuad yang mantap.

Pada kejohanan Copa America 2007 di Venezuela, Brazil muncul juara selepas menundukkan musuh tradisi, Argentina 3-0 menerusi jaringan Julio Cesar Baptista, Roberto Ayala (gol sendiri) dan Dani Alves.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>