Tahun 2012 musim gemilang bola sepak Kelantan
FINAL Piala Malaysia 2012: Kelantan 3-2 ATM | Kelantan The Red Warriors [2011]
KELANTAN mengesahkan selaku kuasa besar bola sepak negara musim 2012 dengan melengkapkan kejuaraan treble selepas menjulang Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dalam babak akhir, semalam.
Indra Putra Mahayuddin layak dijulang selaku wira The Red Warriors apabila jaringannya pada masa tambahan pada minit ke-96 hasil serangan pantas, menjulang Kelantan selaku juara Piala Malaysia edisi kali ke-96 sekali gus menjadikan tahun 2012 sebagai tahun paling bermakna dalam sejarah bola sepak Kelantan.
Jaringan kemenangan daripada Indra itu seolah-olah mengesahkan kata-kata pengendali Kelantan, Bojan Hodak pada sidang media pengurus pasukan kelmarin, yang mengatakan ATM tidak dapat bertahan sehingga penghujung perlawanan kerana terdiri daripada ramai pemain berumur.
Berpunca daripada gerakan pantas Shakir Shaari dan Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya yang tidak dapat dibendung pemain ATM, Indra pantas mencari ruang kosong sebelum melepaskan rembatan menarik ke arah sebelah kanan pintu gol.
Sebelum itu, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir dua kali meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-44 dan 50, namun dapat disamakan sebanyak dua kali oleh ATM melalui Rezal Zambery Yahya pada minit ke-49 dan Marlon Alex James pada minit ke-62.
Kekalahan ATM bermakna tiada lagi magis Hairuddin Omar dalam penampilan final kelima Piala Malaysia apabila buat pertama kali pemain berusia 33 tahun itu gagal membawa pulang trofi keagungan bola sepak negara bersama pasukan yang diwakilinya selepas melakukannya empat kali sebelum ini bersama Terengganu, Negeri Sembilan dan Kelantan.
Dalam aksi akhir yang disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra serta kira-kira 80,000 penonton itu, kedua-dua pasukan berjaya menampilkan permainan menghiburkan tetapi diselangi kekecohan di babak terakhir perlawanan ekoran keputusan pengadil yang mengundang kontroversi.
Malah, hampir terjadi pergaduhan ketika perlawanan tinggal lima minit untuk ditamatkan selepas pemain ATM bertindak meneruskan perlawanan ketika Indra mahukan Shakir yang cedera diberikan rawatan namun pengadil, Nafeez Abd. Wahab pantas membendung insiden lebih buruk daripada terjadi.
Barisan tengah ATM dilihat cukup pincang pada babak pertama biarpun dibarisi pemain berpengalaman seperti Rezal Zambery Yahya dan Bruno Martelotto apabila gagal merencanakan sebarang gerakan menarik.
Christie Jayaseelan dilihat sedikit gugup pada penampilan pertama di final selain Marlon Alex James dapat dirantai kemas oleh Obinna Nwaneri.
Situasi itu bijak dieksploitasi oleh Kelantan sepenuhnya yang mempamerkan rentak penuh bertenaga dengan sekurang-kurangnya empat percubaan tepat dengan salah satunya menembusi gawang ATM pada minit ke-44.
Kesilapan Farizal Harun yang tidak menangkap kemas rembatan Mat Yo yang menerima umpanan Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya membuka tirai jaringan Kelantan, ketika perlawanan separuh masa pertama hanya menunggu masa untuk ditamatkan.
Pengendali ATM, B. Sathianathan bagaimanapun ternyata mempunyai percaturannya tersendiri pada separuh masa kedua dan pasukannya hanya menunggu masa selama empat minit sebaik permainan bermula untuk menyamakan kedudukan melalui Rezal Zambery hasil sepakan leret dari jarak 25 meter.
Kegembiraan ATM bagaimanapun hanya bertahan selama seminit apabila Norshahrul sekali lagi membuktikan bisanya belum hilang menerusi serangan balas pantas dan memperdaya K. Reuben sebelum melepaskan sepakan yang tidak diselamatkan Farizal.
Namun, semangat juang ATM sama sekali tidak padam, percaturan bijak Sathia memasukkan dua pemain gantian, Venice Elphi Danny Kaya dan Mohd. Fitri Omar mengambil alih peranan sayap kiri pada minit ke-60 ternyata membuahkan hasil mengkucar-kacirkan benteng Kelantan.
Selepas Venice dijatuhkan berhampiran kotak penalti di sebelah kiri pintu gol Kelantan, Marlon melonjak tinggi menanduk masuk ke dalam gawang bagi gol penyamaan ATM pada minit ke-62.
Kelantan bagaikan berada dalam lamunan kira-kira 15 minit perlawanan selepas ATM dapat menyamakan kedudukan tetapi tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan sehingga memaksa perlawanan diheret masa tambahan. — Utusan
Laporan berkaitan:
October 22, 2012 - 8:35 am
Kami tak ada misi……..
cuma ada nurse.
October 22, 2012 - 10:12 am
banggo kawe, 3 final 2012 kelantan tawan
final piala malaysia
final piala fa
final liga super (betoi ke ni)
xkisah la hak petim kelate juara 3 piala.
insyaAllah tahun depan treble sekali lagi, ameeen
October 22, 2012 - 8:48 pm
striker terbaik : marlon
midfielder terbaik : Piya
defence terbaik : Obinna / Subra
penyokong terbaik : trw
pengurusan terbaik : KAFA
MVP : Piya
jurulatih terbaik : bojan
keeper terbaik : apek
July 9, 2013 - 4:05 pm
Aku…tiada dalam senarai ke?????