Dua gol Khyril Muhymeen bantu Kedah kutip mata penuh
SANG kenari membuka tirai kempen Piala Malaysia 2011 dengan bergaya apabila berjaya menewaskan pasukan tuan rumah Johor 2-0 di Stadium Larkin malam tadi.
Pengalaman dimiliki kedah ternyata membantu pasukan dari utara itu menjinakan barisan muda kendalian Azmi Mohamad yang rata-rata masih cetek pengalaman untuk beraksi di peringkat tertinggi dalam kejohanan berprestij itu.
Gol pertama pasukan pelawat terhasil seawal minit keenam selepas kelekaan pertahanan tuan rumah dimanafaatkan sebaiknya Baddrol Bakthiar untuk melakukan hantaran tepat kepada Mohd Khyril Muhymeen dan disudahkan sempurna menewaskan penjaga gol Johor, Mohd Syamim Othman.
Tersentak dengan gol awal tersebut, para pemain Johor cuba bangkit melancarkan serangan ke kubu Kedah namun ketiadaan penyudah terbaik meleburkan impian skuad jengking untuk merapatkan kedudukan pada separuh masa pertama.
Babak kedua bermula, skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan terus menguasai penguasaan bola dan memberi tekanan kepada Johor sehinggakan tuan rumah hanya mampu bertahan memastikan gawang tidak dibolosi lebih banyak gol.
Meskipun keseluruhan pemainan dikuasai sepenuhnya kedah, pemain pinjaman Johor dari ATM, Ashadi Mohd Yusof beberapa kali hampir menghukum pertahanan yang diketuai Mohd Fauzi Nan.
Namun, semangat para pemain Johor direntap pada minit ke-79 apabila Muhymeen sekali lagi menjadi duri dalam daging dengan menyumbat gol kedua untuk Kedah menjarakkan kedudukan menjadi 2-0.
Kesilapan Md Syamim sekali lagi dihukum Muhymeen yang mudah mengelecek penjaga gol Johor tersebut selepas mendapat hantaran cantik dari bahagian pertahanan sebelum melepaskan rembatan ke arah pintu gol Johor.
Keserasian dan pengalaman Kedah nyata bukan tandingan Johor, kehadiran dua pemain pinjaman Ashadi dan Md Noraslan Makhtar masih belum mampu mengubah corak permainan Johor.
Berbeza dengan Kedah, pemain pinjaman dari Perlis, Azmizi Azmi nyata memberi suntikan positif kepada bahagian pertahanan apabila berjaya mengelak daripada dibocori sepanjang 90 minit permainan.
Dengan kemenangan itu, Kedah berjaya berada di persada Kumpulan A selepas mengutip tiga mata penuh apabila Sabah dan Perak sekadar mengutip satu mata di Stadium Likas.
www.Arena.my
Luahan Perasaan