Effa yakin bawa Negeri Sembilan ke final
PENJARING terbanyak saingan Liga Super, Jean-Emmanuel Effa Owona, sudah bersedia untuk turun menggalas cabaran Negeri Sembilan dalam usaha membantu pasukan itu mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia dengan melakar kemenangan pertama ke atas Felda United, pada saingan pembuka tirai, di Stadium Hang Jebat, malam ini.
Penyerang dari Cameeroon itu berazam untuk mengulangi prestasi cemerlangnya sepanjang saingan liga dengan memburu lebih banyak gol bagi meletakkan skuad Rusa berada pada landasan mudah menjuarai Kumpulan C.
Katanya, selepas gagal membantu merealisasikan sasaran menjuarai Liga Super, peluang merebut piala terakhir musim ini tidak akan dipersia-siakan dengan memastikan Negeri Sembilan menjulang sekali lagi piala berprestij itu.
“Saya sudah bersedia untuk menggalas tugas pasukan menghadapi saingan Piala Malaysia dan bertekad untuk menjaringkan sebanyak mungkin gol. Saya mahukan kemenangan pertama dicatatkan pada perlawanan menentang Felda United, Rabu ini (esok) dan saya berazam untuk menjaringkan gol pada perlawanan itu,” katanya semalam.
Effa menjaringkan 15 gol pada saingan Liga Super selain membantu Negeri Sembilan menjulang Piala Sumbangsih pada awal musim dan kini dia sekali lagi bakal menjadi sandaran skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah, dalam misi mereka terus kekal selaku pasukan yang mendominasi saingan Piala Malaysia.
Menurut penyerang berusia 29 tahun itu, dia akui persefahamannya yang kian mantap dengan Khairul Izuan Abdullah memudahkannya untuk melaksanakan misi itu dengan lebih baik dan memastikan barisan depan pasukan lebih berbisa berbanding saingan liga.
“Kami akan berpadu tenaga untuk melakukan tugas itu nanti sebaik mungkin dan memastikan pasukan mencapai kemenangan,” katanya yang melaungkan keyakinan tinggi untuk mencapai kemenangan.
Sementara itu, Azraai mahu anak buahnya bersikap berhati-hati terhadap cabaran Felda United berikutan kebangkitan pasukan itu pada penghujung saingan liga.
Menurutnya, dia tidak mahu anak buahnya tersilap langkah kerana misinya adalah untuk pulang dengan mata kemenangan demi menyalakan keyakinan merelisasikan misi mempertahankan kejuaraan.
“Kita tidak memandang mudah cabaran Felda United kerana pasukan itu menunjukkan prestasi yang baik pada liga dan saya sudah mengingatkan pemain supaya lebih berhati-hati serta tidak terlalu yakin dengan kemampuan untuk mencapai kemenangan mudah,” katanya.
Luahan Perasaan