Agihan tiket final Piala Malaysia 2013 perlu adil, tersusun - Khairy
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran melaksanakan proses penjualan tiket secara tersusun untuk perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Pahang di Stadium Shah Alam, 3 Nov ini.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata langkah itu bagi memastikan peminat dapat membeli tiket dengan selesa di stadium, agihan tiket kepada persatuan negeri adil dan membanteras ulat tiket daripada terus bergiat aktif.
Selain itu, mengelak kesesakan penonton dalam stadium di samping kawalan keselamatan sistematik bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Ragbi NS KGV 10 Sebelah kali Kelapan di sini, Ahad.
Khairy berkata FAM perlu mencari mekanisme terbaik serta mengeluarkan garis panduan mengenai penjualan tiket bagi mengelak sebarang kekeliruan oleh mana-mana pihak.
Mengenai kejohanan ragbi itu, beliau berkata kementeriannya akan menyokong kejohanan itu supaya ia menjadi antara kejohanan premier untuk sukan ragbi di peringkat sekolah di negara ini.
Sebanyak 110 pasukan termasuk dua pasukan dari Thailand dan Singapura menyertai kejohanan dua hari itu anjuran bersama kerajaan negeri, CIMB Foundation dan COBRA.
Lima kategori dipertandingkan iaitu bawah 12, 13, 14, 15 dan bawah 16 tahun.
- BERNAMA
Luahan Perasaan