Devan pertahan strategi ditumpaskan T-Team
WALAUPUN strateginya menggunakan dua pemain tengah untuk mengetuai jentera serangan menemui kegagalan, jurulatih Selangor, K Devan tetap mempertahankan taktik terbabit yang diterapkan dalam aksi perlawanan pembukaan Kumpulan D, Piala Malaysia menentang T-Team pada Selasa lepas.
Menurut pengendali berusia 50 tahun itu, tindakan menggunakan Mohd Amri Yahyah dan Mohd Safiq Rahim di barisan depan adalah berdasarkan tujuh perlawanan persahabatan yang diharungi Selangor sepanjang bulan lalu.
“Saya bukan saja meletakkan mereka pada posisi terbabit. Ia adalah berdasarkan prestasi yang dipamerkan mereka ketika tujuh perlawanan persahabatan sebelum ini. Namun tekanan perlawanan persahabatan dan aksi sebenar adalah berlainan sehingga prestasi yang dipamerkan tidak sama.
“Mungkin selepas ini saya akan mencuba kombinasi lain untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik. Tidak perlu panik (kekalahan 1-0 kepada T-Team) buat masa ini kerana kami kalah kepada pasukan yang sememangnya mampu memberikan saingan kepada Selangor dalam Kumpulan D.
“Jika kami kalah kepada PDRM dan Kuala Lumpur (dua lagi pasukan dalam Kumpulan D), ia mungkin sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya ketika ditemui semalam.
Selain perubahan posisi Mohd Amri dan Mohd Safiq, Devan juga menggunakan pemain pertahanan kiri, Mohd Asraruddin Putra Omar sebagai pemain sayap manakala penyerang Mohd Fadzli Saari beraksi di jentera tengah namun gagal membuahkan hasil walaupun mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.
Walaupun tewas di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, Devan berkata secara keseluruhannya barisan pemainnya mempamerkan persembahan yang lebih baik berbanding dua aksi menentang T-Team ketika tewas dalam pertemuan Liga Super.
“Cuma pemain kurang agresif berbanding lawan dan lawan dapat memanfaatkan peluang dengan menjaringkan gol berbanding kami yang gagal melakukannya walaupun turut mendapat peluang,” katanya.
Luahan Perasaan