Temuduga cari pengganti SU Agung FAM

Datuk Fuad SU Agung FAM

PRESIDEN FAM, Sultan Ahmad Shah mengakui proses temuduga merupakan antara pilihan yang bakal dipertimbangkannya untuk mencari setiausaha agung baharu ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Azzuddin Ahmad.

Titah baginda, proses sama yang pernah dilakukan FAM ketika mencari pengganti Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan yang berundur daripada jawatan berkenaan pada 2005, mampu diulangi memandangkan pelantikan penyandangnya bukanlah perkara yang perlu dibuat secara tergesa-gesa.

“Saya belum terfikir lagi atau dapat ilham lagi (melantik setiausaha agung baharu FAM). (Temuduga calonnya) itu salah satu peraturannya. Saya tidak mahu buat tergesa-gesa kerana orang berkenaan perlu sesuai (sebagai penyandangnya),” titah baginda, semalam.

Sultan Ahmad yang ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di sebuah hotel di sini, mengulas mengenai calon pengganti Azzuddin yang bakal berhijrah untuk menyandang jawatan sama di Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pula mulai 1 Mei ini.

Desas-desus hangat kini kedengaran bahawa Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin bakal dilantik untuk mengambil alih ‘kerusi panas’ di FAM itu berdasarkan pengalamannya sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selama 15 tahun dan hubungan rapat dengan ahli gabungan persatuan.

Ditanya tentang kemungkinan Datuk Ahmad Fuad Daud bakal dinaikkan pangkat daripada Penolong Setiausaha Agung FAM yang kini disandangnya, baginda secara berseloroh bertitah: “Setahu saya dia pun orang Pahang.”

Namun menurut rekod, Sultan Ahmad Shah dikenali gemar membuat kejutan berhubung pelantikan penyandangnya apabila mengetepikan calon yang disenarai pendek daripada proses temuduga 2005 dengan melantik Naib Presiden FAM ketika itu, Datuk Seri Ibrahim Saad menggantikan Dell Akbar Khan.

Selepas Ibrahim menamatkan kontrak dua tahun sebagai Setiausaha Agung FAM, Sultan Pahang itu sekali lagi membuat kejutan dengan memilih orang luar persatuan yang juga bekas Ketua Bahagian Risikan Pertahanan, Datuk Azzuddin Ahmad ke kerusi panas itu pada 17 September 2007.

- Utusan

Related Posts

4 Responses to Temuduga cari pengganti SU Agung FAM

  1. bila iklan jawatan kosong??

  2. Sultan…boleh jadi SU,dua(2) jawatan tiada masalah!!!

  3. yg sebenarnya,memegang ssuatu jawatan bukanlah utk mencari glamour atau apa2, ttpi ianya merupakan tanggunjawab dan amanah yg besar n berat

  4. Tak payah temuduga!!!!..ambil jer TMJ ganti Zudin…..lepas Insya-Allah team jdt terus menang!!!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>