Sukan SEA: Misi pertahan pingat emas
- Singapura halangan pertama skuad bimbingan Kim Swee
ADA sesuatu yang bermain di fikiran pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Ong Kim Swee menjelang sepak mula acara bola sepak temasya Sukan SEA di Jakarta, Indonesia pada Isnin.
Selain bakal membuat perhitungan dengan Singapura pada aksi pembukaan Kumpulan A, Kim Swee juga lebih berwaspada dengan provokasi para penyokong tuan rumah yang pastinya bertindak menjadi ‘pengacau’ dalam setiap perlawanan yang diharungi anak-anak buahnya sepanjang berada di sana.
Spekulasi Sang Garuda ‘busuk hati’ kerana meminda jadual perlawanan pada saat-saat akhir juga sering bermain di benak peminat bola sepak tempatan, lantaran ‘api permusuhan’ antara kedua-dua negara dilihat masih membara gara-gara isu laser yang disensasikan peminat negara itu sebaik mereka tewas pada aksi final Piala AFF Suzuki tahun lepas.
Enggan cepat melatah, Kim Swee percaya Indonesia mempunyai alasannya tersendiri menganjakkan jadual perlawanan membabitkan pasukannya dua hari lebih awal berbanding tarikh sebenar pada 9 November ini.
Meskipun ia merupakan pindaan kedua sebaik menukar tarikh kepada 8 November sebelum ini, Kim Swee tidak mahu konsentrasi barisan pemainnya terganggu dengan situasi itu.
Info Siaran Langsung Malaysia vs Singapura
Bola Sepak Sukan SEA 2011
7 November 2011 (Isnin)
4.45 Petang, LIVE TV1 & Astro Arena
Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta
“Sejujurnya, saya lebih suka berbicara mengenai pertemuan menentang Singapura yang dilihat menjadi titik tolak kejayaan pasukan kami mempertahankan pingat emas kali ini.
“Bagi saya, Indonesia pastinya mempunyai alasan tersendiri untuk mengubah jadual perlawanan, jadi saya yakin keputusan itu bukan dibuat semata-mata kerana hasad dengki ataupun mahu mengganggu konsentrasi kami,” katanya.
Dengan kemungkinan berdepan provokasi melampau penyokong tuan rumah, tidak mustahil skuad kendalian Kim Swee terpaksa berdepan pengalaman menaiki kereta kebal Barracuda menuju ke stadium seperti mana yang ditempuh ‘abang’ mereka - skuad senior ketika final Piala AFF Suzuki tahun lalu.
Tambahan pula, kehadiran skuad Harimau Muda selaku juara bertahan Sukan SEA kali ini bukan sahaja menghadirkan rasa gerun tuan rumah, sebaliknya Singapura, Thailand dan Kemboja juga tidak terkecuali memiliki perasaan yang sama.
Selepas Singapura, skuad negara akan menentang Thailand (9 November), Kemboja (13 November) dan Indonesia (17 November), manakala aksi separuh akhir dan final diadakan pada 19 dan 21 November.
Aksi Kumpulan B pula dilihat lebih memihak kepada naib juara, Vietnam yang dilihat lebih mudah menempah slot ke separuh akhir apabila diundi bersama Myanmar, Laos, Brunei, Filipina dan Timor Leste.
Kim Swee yang berlepas ke Jakarta bersama anak-anak buahnya Rabu lepas memberitahu, Singapura sememangnya pasukan yang hebat, terutamanya ketika berdepan dengan Malaysia dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Apa yang saya dapat lihat, mereka seolah-olah beraksi dengan tenaga yang berlebihan setiap kali menentang negara kita berbanding negara lain, justeru kami harus berwaspada.
“Kemenangan 2-0 ketika aksi persahabatan awal tahun ini juga tidak boleh dijadikan ukuran kerana mereka hanya dibarisi oleh pemain skuad Olimpik ketika itu,” katanya.
Tanggungjawab selaku kapten kali ini bakal digalas oleh Baddrol Bakhtiar, manakala Khairul Fahmi Che Mat bertindak selaku penolong kapten.
Bagaimanapun, nama-nama besar seperti Gary Steven Robbat dan Wan Zack Haikal Wan Nor terpaksa diketepikan gara-gara kecederaan.
Apa yang pasti, Harimau Muda harus berwaspada dengan 1,001 helah yang bakal direncanakan pengendali Singapura, Slobodan Pavkovic. — Kosmo
November 6, 2011 - 4:02 pm
Sure menang…. kalau dengan Anak Singa pun tak menang… tak payah jadi Harimau la… Anyway… Good luck.