Rajagobal congak gandingan terbaik

Taiwan vs MALAYSIA
Pra Kelayakan Piala Dunia 2014
LIVE TV2, Astro Arena, 6.45 petang

BAYANGAN kesebelasan utama yang bakal diturunkan ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal bagi perlawanan kedua kelaya­kan Piala Dunia zon Asia menentang Taiwan, semakin jelas selepas sesi latihan terakhir di Stadium Taipei, semalam.

Skuad kebangsaan yang berkunjung ke Taiwan de­ngan bekalan 2-1, memerlukan sekurang-kurangnya seri di sini tetapi Rajagobal tampak tidak mahu mengambil risiko dan tetap mahu melebarkan jurang defisit.

Penyerang prolifik, Norshahrul Idlan Talaha yang tidak diturunkan di Bukit Jalil Rabu lalu, kelihatan sudah mula mencapai tahap kecergasan dan Rajagobal dilihat menggandingkan Norshahrul dengan Abdul Hadi Yahaya dalam latihan semalam, selepas gandingannya di Piala AFF Suzuki, Safee Sali sekadar memerhati dari luar padang akibat kecederaan.

Kemudian, Rajagobal mencuba pula Ahmad Fakri Saarani bersama Norshahrul manakala di benteng pertahanan, kelibat Mahali Jasuli turut berada dalam kesebelasan Rajagobal, yang memberi isyarat serangan balas bakal dari sebelah sayap mungkin menjadi senjata untuk mencari kemena­ngan malam ini.

“Bayangan ke pusingan kedua sudah ada, cuma sekarang saya perlu cari gandingan terbaik yang akan diturunkan esok (hari ini),” kata Rajagobal selepas sesi latihan itu.

“Saya sudah cuba beberapa gandingan hari ini (semalam), dan saya lihat kesungguhan pemain untuk menurut arahan. Kita tunggu dan lihat corak permainan mereka nanti.
“Saya yakin mereka mampu menyempurnakan tugasan yang diberi dan keputusan akan memihak kita.”

Sementara itu, penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang tidak beraksi Rabu lalu, turut kembali berlatih walaupun belum mencapai tahap kecergasan sepenuhnya.

“Saya sedia beraksi, tetapi terpu­lang kepada jurulatih sama ada menurunkan saya atau tidak,” kata Fahmi.

“Siapapun pilihan jurulatih, ia adalah untuk kebaikan pasukan dan saya yakin misi utama untuk menang mampu dilaksanakan.”

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>