Bola sepak kembali tarik minat rakyat
Kejayaan di Piala AFF disusuli kejayaan pertahan emas Sukan SEA 2011
KETUA Jurulatih Skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee tidak ragu-ragu menyatakan sukan bola sepak negara ini kembali menarik minat dan sokongan rakyat berikutan persembahan baik pasukan negara sejak menumpaskan Indonesia pada perlawanan akhir Piala AFF Suzuki sebelum ini.
Malah Kim Swee berkata kehadiran lebih 1,000 peminat dan penyokong setia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di KLIA seawal jam 1 pagi kelmarin membuktikan sokongan yang makin padu.
“Ini membuktikan kemenangan Malaysia (menumpaskan Indonesia) pada Piala AFF Suzuki disusuli pingat emas Sukan SEA bukan kerana nasib kerana kita mampu mempertahankan pingat itu,” katanya.
“Walaupun kita terpaksa mengharungi pelbagai halangan yang cukup banyak (ketika di Jakarta), syukur kerana pemain dapat mengharungi perlawanan akhir malam tadi (kelmarin) dengan cukup baik dan berjaya mengekalkan pingat emas dimenangi dua tahun lalu.
Pasukan Malaysia yang berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara bola sepak di Sukan SEA ke-26 disambut meriah termasuk sekitar lembah Klang, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak.
Mereka hadir seawal jam 1 pagi di situ, semata-mata mahu mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Muda berikutan kejayaan menewaskan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 4-3.
Luahan Perasaan