Piala AFC B-22: Malaysia 2-3 Korea Selatan


Malaysia 2-3 Korea Selatan | Kelayakan Piala AFC B-22

HASRAT Harimau Muda meraih sekurang-kurang satu mata pada aksi pembukaan Kumpulan G kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun (B-22) tidak kesampaian apabila tewas 2-3 kepada Korea Selatan di Stadium Thuwunna, Myanmar semalam.

Meskipun mendahului perlawanan menerusi tandukan penyerang, A. Thamil Arasu seawal minit kesembilan, namun gawang skuad negara mula dirobek Korea Selatan empat minit kemudian menerusi jaringan kapten, Kim Hyun-hun.

Korea Selatan yang menguasai sebahagian besar perlawanan sekali lagi menghukum kealpaan benteng pertahanan negara apabila memperoleh dua gol dalam tempoh tiga minit menerusi jaringan Pak Kwang-il pada minit ke-31 dan Jeong Jong- hee (34).

Thamil Arasu kembali merapatkan kedudukan apabila menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-61, namun keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Mengulas kekalahan itu, pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee menyifatkan beberapa kesilapan di benteng pertahanan antara faktor utama Korea Selatan berjaya membolosi gawang negara.

“Saya akui kecewa kami gagal untuk mendapatkan keputusan seri ketika menentang Korea Selatan.

“Beberapa kesilapan dilakukan terutama di bahagian pertahanan yang mana kami membenarkan mereka (Korea Selatan) menjaringkan gol.

“Begitupun, saya tetap memuji barisan pemain saya yang mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila berjaya mendapatkan dua gol ketika menentang Korea Selatan,” kata Kim Swee selepas tamat perlawanan semalam.

Sementara itu, jurulatih Korea Selatan, Kim Tae-young menegaskan, cuaca panas telah menjejaskan rentak anak-anak buahnya sehingga nyaris dimalukan skuad Malaysia.

“Cuaca panas menyebabkan kami begitu sukar untuk memberikan corak persembahan sebagaimana yang diharapkan.

“Namun, saya gembira kami tetap berjaya melakar kemenangan ke atas Malaysia.

“Malaysia merupakan sebuah pasukan yang sukar ditentang dan mereka hampir berjaya untuk mengikat kami dengan keputusan seri,” katanya.

Kempen kelayakan Piala AFC B-22 melibatkan tujuh kumpulan dan setiap kumpulan itu menampilkan tujuh pasukan.

Juara dan naib juara bagi setiap kumpulan akan mara secara automatik ke pusingan akhir Piala AFC B-22, manakala hanya satu pasukan terbaik yang menduduki tempat ketiga bakal turut layak beraksi.

Esok, skuad Harimau Muda bakal berdepan dengan Filipina di Stadium Aung San.

Untuk jadual dan keputusan penuh perlawanan kelayakan Piala AFC 2012 B-22 dan juga carta terkini kumpulan

-> KLIK DI SINI

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>