Malaysia sedia gegar Nippon
MALAM ini Skuad Olimpik Malaysia bakal memulakan pemburuan ke slot Sukan Olimpik London 2012, menentang tuan rumah, Jepun bagi aksi pembukaan Kumpulan C di Stadium Tosu, Fukuoka.
Berhadapan pasukan Samurai Biru yang sememangnya diakui memiliki kekuatan seimbang di segenap posisi, sedikit menggerunkan pemain negara, namun ia bukan alasan buat mereka ‘segan’ menunjukkan taring sebenar di hadapan puluhan ribu penyokong Ultras Nippon.
Ramai peminat tempatan meramalkan skuad pimpinan Ong Kim Swee itu bakal menempuh jalan sukar selepas diundi bersama Jepun, Syria dan juga Bahrain.
Namun, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan tidak mustahil skuad Olimpik negara mampu melakar kejutan pada pertemuan tersebut.
Kapten pasukan, Khairul Fahmi Che Mat dijangka menjadi pilihan Kim Swee mengawal pintu gawang daripada dibolosi sambil Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas dan Zubir Azmi diberi tanggungjawab mengekang asakan penyerang Jepun.
Jentera tengah pula pastinya dipikul K Gurusamy, Abdul Shukur Jusoh , Fandi Othman dan A Thamil Arasu, manakala gandingan Wan Zack Haikal Wan Nor dan Izzaq Faris Ramlan sedia merobek gawang tuan rumah dalam misi sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dan satu bonus andai mengejutkan pemenang pingat emas Sukan Asia 2010 itu.
Malaysia kini membawa cabaran tunggal wakil Asia Tenggara yang layak ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 selepas menyingkirkan cabaran Pakistan dan Lebanon dalam dua peringkat awal sebelum ini.
Mengikut rekod pertemuan terakhir, Malaysia tumbang 2-0 kepada Jepun pada Sukan Asia tahun lalu dan kedua pasukan pernah bertembung pada pusingan Kelayakan Sukan Olimpik Beijing 2008, namun tewas dalam dua pertemuan, 2-1 di Petaling Jaya dan 3-1 (Tokyo).
Bagi Jepun pula, mereka muncul negara Asia tunggal memenangi pingat gangsa di kejohanan Olimpik Mexico 1968 termasuk pemainnya, Kunishige Kamamoto yang muncul penjaring terbanyak pada pertandingan tersebut.
Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi buat pertama kali pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.
September 21, 2011 - 5:34 pm
As seen on Sinar paper today, but sokernet tak kreditpun SinarHarian.
September 21, 2011 - 6:08 pm
yup.. diorang ada hutang. tq
September 22, 2011 - 11:07 am
kat dalam sokernet nie banyak gak artikel yang dorang rembat dr sinar.
September 22, 2011 - 11:34 am
yup.. ada hutang belum dilangsai…………..
September 23, 2011 - 10:42 am
hutang apa admin…cayalah sokernet…