Kim Swee mahu anak buah kutip tiga mata
JURULATIH skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara, Ong Kim Swee boleh menghela nafas lega apabila barisan kendaliannya mengutip satu mata ketika seri tanpa jaringan dengan Singapura pada aksi pembukaan Kumpulan A Sukan SEA 2011 kelmarin.
Sekalipun gagal mengutip tiga mata berharga, Kim Swee tetap menganggap mata ‘keramat’ itu mampu menjelmakan semangat buat anak-anak buahnya untuk tampil lebih garang bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
Justeru, Kim Swee menuntut barisan Harimau Muda bangkit memburu tiga mata penuh apabila membuat perhitungan dengan musuh tradisi, Thailand di Stadium Gelora Bung Karno hari ini.
“Saya akui pada perlawanan pertama menentang Singapura semalam (kelmarin), para pemain saya bermain di bawah tahap sebenar. Saya lihat ada beberapa pe- main berpengalaman gagal bermain seperti yang diharapkan.
“Bagaimanapun, saya percaya mereka akan kembali menampilkan aksi yang diharapkan pada perlawanan menentang Thailand nanti,” kata Kim Swee.
Ditanya kekuatan yang dimiliki Thailand, Kim Swee mengakui, lawan mereka itu masih layak bergelar jaguh di pentas Asia Tenggara biarpun barisan negara tampil selaku penyandang juara di bumi Jakarta.
“Walaupun Thailand gagal menjuarai Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF tahun lalu, saya masih menganggap mereka sebagai antara pasukan pilihan.
“Hampir kesemua pemain Thailand memiliki mutu permainan yang berkualiti. Saya akui dan para pemain saya juga sedar, aksi menentang Thailand esok (hari ini) bukan satu tugas mudah.
“Jadi saya mahu pemain-pemain saya memberikan komitmen penuh ketika berdepan Thailand nanti. Bagi saya, setiap perlawanan ada tekanannya dan para pemain perlu tahu apa yang harus mereka lakukan,” jelasnya.
Bagi ‘menjerat’ Thailand yang tampil membuka langkah sulung pada temasya kali ini, Kim Swee berkata, beliau akan melakukan rombakan kecil khususnya di barisan tengah.
“Selepas perlawanan menentang Singapura, saya sudah dapat kesan beberapa kelemahan yang timbul. Untuk itu, saya mungkin akan membuat beberapa pertukaran pemain di posisi tengah bagi mengimbangi rentak permainan.
“Namun pada masa yang sama, saya perlu menilai tahap kecerga- san para pemain kerana jadual perlawanan (membabitkan skuad negara) hanya berselang sehari se- lepas aksi dengan Singapura.
“Berbeza dengan Thailand, ini merupakan perlawanan pertama mereka. Jadi mereka tidak akan menghadapi masalah kecergasan pemain,” tambah Kim Swee.
Jika kekal dengan formasi 4-4-2, Kim Swee pasti meletakkan Izzaq Farris Ramlan dalam kesebelasan utama andai penyerang tinggi lampai itu sudah pulih daripada masalah cirit-birit yang dihidapinya sejak beberapa hari lalu.
Izzaq yang hanya beraksi seba- gai pemain gantian kelmarin, bakal bergandingan dengan Ahmad Fakri Saarani bagi menggempur kubu Thailand.
Peranan ‘arkitek’ tengah kembali diisi Irfan Fazail dan K Gurusamy, manakala kapten Baddrol Bakhtiar dan Syahrul Azwari Ibrahim pula menggalas tugas di posisi sayap kiri dan kanan.
Benteng pertahanan pula kekal ditunjangi empat tonggak berpengaruh, Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Fadhli Shas, Asraruddin Putra Omar (bek kiri) dan Mahali Jasuli (bek kiri), manakala Khairul Fahmi Che Mat terus diberi tanggungjawab menjaga gawang negara.
Luahan Perasaan