Kelayakan Olimpik: Perhitungan dengan Bahrain
MISI skuad bawah 21 tahun negara bagi membalas dendam ke atas Bahrain dalam aksi kelayakan pusingan akhir Olimpik 2012 Zon Asia peringkat Kumpulan C bermula apabila selamat tiba pukul 11 malam kelmarin (4 pagi waktu Malaysia semalam).
Tewas 2-3 kepada negara Asia Timur itu dalam aksi pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada November tahun lepas, anak-anak buah Ong Kim Swee kini sudah bersedia untuk memburu mata sulung setelah turut tewas 0-2 ke atas Jepun dan Syria dalam kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini.
Mereka bakal membuat perhitungan dengan anak-anak buah Salman Shareeda di Stadium Nasional Manama pada pukul 6.30 petang (11.30 malam waktu Malaysia) pada 5 Februari, dan hanya kemenangan sahaja dilihat berupaya membuka semula ‘pintu’ buat mereka menjejak kaki ke temasya Olimpik di London Ogos depan.
Paling utama, tiada lagi sebarang alasan yang boleh diberikan skuad Harimau Muda jika tewas kali ini berbanding faktor keletihan yang membelenggu pasukan itu dalam aksi pusingan pertama sebelum ini berdasarkan jadual perlawanan yang begitu ketat dengan temasya Sukan SEA yang menyaksikan negara berjaya mempertahankan pingat emas pada November tahun lepas.
Enggan menoleh ke belakang, Kim Swee juga kekal menaruh harapan kepada penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat yang kekal menjadi kapten menjelang pertemuan menentang Bahrain nanti.
“Saya tetap menaruh keyakinan terhadap Apex menjadi kapten pasukan, bagi saya sebarang spekulasi melucutkan jawatannya gara-gara isu salah faham tempoh hari tidak perlu dipanjangkan,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di Manama semalam.
Khairul Fahmi sebelum ini mencetuskan kontroversi gara-gara ‘ponteng’ hari pertama latihan ekoran mengakui ‘terkeliru’ mengenai perkara itu ketika membantu majikannya, Kelantan mengharungi saingan Liga Super baru-baru ini.
Empat pemain juga diketepikan daripada skuad ke Manama kali ini iaitu Syahrul Azwari Ibrahim, Muhammad Syazwan Tajuddin, Mohd. Shahril Saari dan Muhammad Izuan Mohd. Salahuddin.
Mengulas lanjut, Kim Swee menjelaskan bahawa, anak-anak buahnya bakal menjalani latihan ringan di gimnasium petang ini sebelum meneruskan latihan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan padang.
“Latihan ini dilihat amat penting buat saya mengenal pasti percaturan taktikal terbaik buat pasukan.
“Faktor cuaca yang berangin gara-gara ribut pasir yang berlaku di Manama ketika ini juga dilihat bukan masalah besar buat pemain saya menyesuaikan diri di sini,” katanya. — Kosmo
Luahan Perasaan