Sarawak perintis projek padang tiruan
SARAWAK akan menjadi perintis pembinaan padang bola sepak tiruan selepas rancangan untuk memperkenalkan padang itu di seluruh negara.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang sudah bertemu Ketua Menteri semasa beliau melawat Sarawak kelmarin, berkata perbincangan untuk memperbaiki kemudahan sukan di negeri itu adalah salah satu agenda utama kementerian.
“Rancangan untuk membina padang tiruan di Kuching sebagai projek induk akan menjadi model kepada seluruh negara dan kerja-kerja sedang dijalankan.
“Pengenalan sistem padang tiruan lebih efektif dari segi kos kerana kerja baik pulih mampu bertahan selama 10 tahun. Kami akan membinanya di Kuching sebagai permulaan.”
“Masalah bagi Sarawak dari segi padang bola sepak adalah keadaan tanah dan hujan lebat.
“Apabila negeri ini dilanda hujan lebat, kesemua padang akan berlumpur dan tidak sesuai untuk digunakan. Sebab itu kita perlukan padang tiruan ini,” kata Shabery kepada The Borneo Post.
Kementerian Belia dan Sukan merancang untuk membina 40 padang tiruan di seluruh negara sebagai permulaan. Beliau menjangkakan setiap negeri akan memiliki satu atau dua padang bergantung kepada populasi negeri terbabit.
Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata pihak kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi mengenal pasti projek pertama padang bola sepak tiruan itu, yang dianggarkan menelan belanja sekitar RM1 juta setiap satunya sekiranya dibina mengikut piawaian badan pentadbir bola sepak dunia, FIFA.
Padang bola sepak tiruan di Sarawak dijangka akan dibina berdekatan dengan Stadium Negeri dan Stadium Sarawak di sini.
February 23, 2012 - 1:15 pm
Nice, lepas ni takde lagi nak komplen lawan singapore kalah sebab dia pakai padang tiruan