Jepun vs Malaysia [Kelayakan Olimpik 2012]

Bola Sepak Kelayakan Sukan Olimpik 2012
Jepun vs MALAYSIA
Stadium Tosu, Fukuoka, Jepun
21 September 2011

Siaran Langsung:
LIVE TV2, LIVE Astro 813
6.45 petang

SEKALIPUN di atas kertas Jepun jelas perkasa, namun ketua jurulatihnya, Takashi Sekizuka tetap berwaspada apabila melayani barisan Harimau Muda dalam saingan kelayakan Olimpik, Kumpulan C, lewat petang ini.

Sekizuka yang membimbing Samurai Biru memenangi pingat emas Sukan Asia Guangzhou 2010, sebaliknya menyifatkan cabaran Malaysia tidak harus dipandang rendah apa lagi majoriti pemain kedua-dua pasukan pernah berentap di temasya itu yang menyaksikan Jepun menang 2-0.

“Kami pernah menyaksikan beberapa perlawanan membabitkan Malaysia dan mereka cukup kompak dan pemain begitu berdisiplin. Pemain anda juga bermain dalam liga tempatan dan menganggotai skuad senior.

“Tetapi saya percaya Jepun harus menggunakan kekuatan teknik di depan penyokong sendiri bagi perlawanan pertama ini untuk meraih tiga mata. Pemain harus mengaplikasikan apa yang sudah diajar dalam latihan.

“Yang pasti, kami akan turun dengan corak permainan agresif,” katanya yang berkesempatan mengumpulkan anak buahnya yang mewakili pelbagai kelab profesional Liga-J enam hari sebelum pertemuan, malam ini.

Selain penyerangnya, Kensuke Nagai, Jepun turut diperkuat sentuhan pemain tengah, Kazuya Yamamura yang mampu membuat gerakan serangan berbahaya.

Nagai berkata di Sukan Asia, tahun lalu Malaysia cukup defensif dan mereka akan cuba membolosi benteng pertahanan mantap lawan.

Apek yakin Harimau jerat Samurai

“KAMI lebih arif dengan kekuatan Jepun siapa lawan kali ini dan kami sudah bersedia berdepan Jepun.”

Itu kenyataan ringkas bernada cukup yakin daripada mulut kapten dan penjaga gol skuad Olimpik Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat menjelang pertemuan penting perlawanan pertama Kumpulan C kelayakan Olimpik di Stadium Tosu, Wilayah Saga, Pulau Kyushu, jam 7 malam ini (8 waktu Jepun).

“Kini saya dan rakan-rakan lebih bersemangat dan yakin kerana sudah mendapat sedikit gambaran maklumat daripada jurulatih (Ong Kim Swee). Malah kami juga berpeluang melihat rakaman perlawanan mereka (Jepun) dengan Kuwait pada pusingan kedua lalu.

“Apa yang boleh saya katakan ialah mereka pasukan yang pantas, banyak menggunakan pemain sayap dan cukup agresif dan saya jangkakan mereka akan kekal bermain seperti itu esok (malam ini).

“Tetapi berkat latihan dan persiapan lebih rapi menghadapi kempen peringkat kumpulan ini, saya yakin kami mampu memberi tentangan. Bukan mustahil jika kami mampu pulang dengan satu mata,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Apek.

Khairul Fahmi dijangka memikul tugas berat menggerakkan benteng pertahanan di depannya untuk menafikan sebarang jaringan daripada skuad Samurai Biru.

Mengulas saingan ketika Malaysia tewas 0-2 kepada skuad Samurai Biru di Sukan Asia Guangzhou 2010 ketika itu, Apek menjelaskan pemain negara kurang mengenali pemain skuad emas bimbingan jurulatih Takashi Sekizuka ketika itu.

Malah kecederaan yang dialami beberapa tonggak penting dalam perlawanan pertama menentang Kyrgyzstan juga menyumbang kepada permainan secara bertahan ketika itu.

Menurut penjaga gol Kelantan dalam Liga Super itu, pemain Harimau Muda kini lebih berkeyakinan beraksi di pentas penting ini terutama selepas mendapat banyak pendedahan berguna berdepan lawan lebih fizikal menentang kelab Liga Corgon di Slovakia. — Berita Harian

Related Posts

3 Responses to Jepun vs Malaysia [Kelayakan Olimpik 2012]

  1. ayuh harimau malaya ..miaow….aarhg…..

  2. HARIMAU MALAYA..GO GO GO…
    WT YG T’BEK..!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>