Jadual padat: Apek tekad pamer aksi terbaik
PENJAGA gol utama kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat bertekad untuk mempamerkan aksi mantap dalam setiap perlawanan mewakili negara dan negeri Kelantan, walaupun menghadapi jadual perlawanan padat sehingga hujung tahun ini.
“Perlawanan bola sepak memang banyak tahun ini, tetapi saya tetap fokus dan saya mahu menghadapi perlawanan itu satu persatu kerana setiap jurulatih tahu bagaimana untuk mengatur strategi permainan.
“Bagi saya, yang penting adalah fokus ketika menjalani latihan serta memberi persembahan terbaik dalam setiap perlawanan yang saya serta rakan sepasukan akan hadapi nanti,” katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai duta produk terbaharu minuman tenaga 100PLUS di ibu negara hari ini.
Khairul Fahmi, 23, atau lebih mesra dengan panggilan ‘Apek’, menjadi pilihan utama skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Datuk K. Rajagobal untuk menghadapi Piala AFF Suzuki di laman sendiri, November ini selain menjadi pilihan jurulatih Bojan Hodak untuk membantu skuad Kelantan menghadapi Piala AFC dan Piala Malaysia dalam masa terdekat serta perlawanan persahabatan dengan Kelab Liga Inggeris QPR.
Khairul Fahmi merupakan atlet kebangsaan keempat yang dilantik menjadi duta syarikat minuman tenaga itu selepas penyerang bola sepak kebangsaan, Mohd Safee Sali, penerjun kebangsaan Pandelela Rinong dan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei.
Pelantikan Khairul Fahmi selama dua tahun sebagai duta produk itu menyaksikan wajah beliau dipaparkan dalam semua iklan 100PLUS bermula dengan Kempen Ramadan dan Hari Raya 100PLUS yang berjudul ‘Sentiasa Cergas di Bulan Mulia ini’.
Selain aksi bersama skuad kebangsaan, khidmat Khairul Fahmi turut ditagih pasukan Kelantan yang bakal bersaing di suku akhir Piala AFC menentang kelab Iraq, Al Arbil selain saingan Piala Malaysia 2012 yang bermula hujung bulan Ogos.
Khairul Fahmi @ Apek Duta 100Plus
July 17, 2012 - 11:24 pm
makin btamboh rezeki demo….alhamdulillah.