Asia Tour 2011: Malaysia 0 Arsenal 4
ARSENAL membenam pilihan Malaysia 4-0 dalam aksi persahabatan Jelajah Asia 2011 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Pasukan The Gunners itu memulakan langkah mereka dengan penuh bergaya apabila menyumbat gol pertama seawal minit keenam hasil sepakan penalti Aaron Ramsey sebelum Theo Walcott menambah jaringan sejurus sebelum tamat babak pertama.
Carlos Vela dan Tomas Rosicky turut menyumbang kepada jumlah jaringan Arsenal pada minit ke-58 dan 90 untuk melengkapkan derita Harimau Malaya.
Arsenal menurunkan hampir kesemua kesebelasan utama mereka dengan Rosicky, Samir Nasri dan Robin van Persie di bangku simpanan. Bagaimanapun Kapten pasukan, Cesc Fabregas tidak menyertai jelajah kali ini.
Jack Wilshere dijatuhkan dalam kotak penalti, sekaligus menghadiahkan penalti yang disempurnakan oleh Ramsey, yang memperdayakan penjaga gol negara, Mohd Nasril Mat Nordin untuk gol pertama Arsenal.
Malaysia mula menyerang dengan barisan serangan diketuai oleh Norshahrul Idlan Talaha menerusi sayap kiri namun kekentalan barisan pertahanan Arsenal seringkali mematahkan gerakan menarik pasukan negara.
Safiq Rahim dan Ahmad Faakri Saarani turut menguji penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny namun ketangkasan penjaga gol muda itu memastikan gawang mereka tidak berjaya dibolosi.
Tujuh minit sebelum masa rehat, Walcott mengutip hantaran Wilshere dan kemudian melambung bola melepasi Mohd Nasril untuk gol kedua Arsenal.
Masuk babak kedua, jurulatih Malaysia K. Rajagobal membuat pertukaran dengan memasukkan Andul Hadi Yahaya dan Khairul Fahmi Che Mat namun kedua-dua pemain itu gagal membantu gawang Malaysia dibocori buat kali ketiga pada minit ke-58.
Kali ini giliran Carlos Vela yang menyumbat gol dari kiri gawang Malaysia menewaskan Khairul Fahmi, yang terpaksa bekerja keras untuk mematahkan serangan demi serangan pasukan pelawat.
Arsene Wenger kemudian memasukkan para pemain bintangya, Andrei Arshavin, van Persie dan Nasri untuk terus menambah jaringan namun mereka terpaksa menunggu sehingga minit-minit terakhir perlawanan untuk melengkapkan kemenangan bergaya tersebut.
Serangan balas Arsenal membuahkan hasil dengan Rosicky menyumbat gol keempat dan terakhir perlawanan, dan jika bukan kerana Arsenal memperlahankan tempo perlawanan, gawang Malaysia berkemungkinan besar dibolosi lagi.
Pingback: Sokernet » Keputusan Malaysia vs Arsenal