FAM patut lebih terbuka terima teguran - Khairy

Khairy tegaskan teguran beliau mewakili pelbagai pihak

“Saya ikhlas memberi pandangan terhadap FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Kalau nak terima, OK…kalau tak nak terima tak apa…saya tak nak komen lebih lanjut sebab tak nak panjangkan perkara ini.”

Itulah penjelasan ringkas Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung kenyataan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang terkilan dengan luahan Menteri Belia dan Sukan itu mengenai perlawanan separuh akhir kedua Piala FA membabitkan Pahang menentang Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Khairy berkata, selaku menteri di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), beliau bukan hanya menyampaikan pandangan peribadi semata-mata tapi mengambil kira laporan diterima selain pendapat orang awam.

“Kalau pandangan seperti itu tidak mahu diterima apa boleh buat,” katanya selepas merasmikan Kursus Asas Haji peringkat daerah Rembau bertempat di Dewan Besar Annur Sekolah Menengah Agama Dato Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas, di sini, semalam.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan mempertikaikan keadilan FAM apabila mengekalkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNJ) sebagai tuan rumah walaupun mereka gagal menangani aspek keselamatan di Stadium Darul Makmur pada aksi yang sepatutnya berlangsung pertengahan minggu lalu.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya hasil kutipan tiket kepada PBNP dihadkan kerana berpeluang mengaut keuntungan lebih besar di Stadium Nasional Bukit Jalil berikutan kapasiti stadium yang boleh memuatkan 80,000 penonton.

Dalam aksi perlawanan tertunda separuh akhir kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin, Johor DT melangkah ke final Piala FA selepas menumpaskan Pahang 2-1.

Johor DT mara ke akhir untuk bertemu penyandang juara Piala FA, Kelantan pada 29 Jun ini, berikutan memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan selepas kedudukan agregat terikat 2-2 sehingga tamat perlawanan.

Sultan Ahmad Shah terkilan teguran KJ

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah terkilan dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung responsnya mengenai aksi kedua separuh akhir Piala FA 2013 antara Pahang dengan Johor Darul Takzim (Johor DT).

Baginda menyifatkan kenyataan yang agak keterlaluan itu tidak seharusnya dibuat selepas Khairy mendakwa FAM dilihat mengamalkan sikap pilih kasih terhadap pertemuan Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) itu.

Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda tidak sesekali mencampuri urusan perlawanan tersebut kerana setiap keputusan dibuat menerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang dipengerusikan Datuk Hamidin Mohd. Amin.

“Khairy tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu.

“Kenyataan tersebut menuduh FAM memilih kasih sedangkan kami hanya bertindak mengikut peraturan yang ada.

“Saya (Presiden FAM) atau Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) tidak mempunyai kuasa memandangkan venue perlawanan diputuskan JKPT FAM.

“Memang negara ini bebas (untuk membuat sebarang kenyataan) namun biarlah kenyataan yang dikeluarkan itu berasas,” titah baginda pada sidang akhbar selepas majlis taklimat aspek keselamatan aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang melibatkan 1,750 anggota keselamatan.

Kosmo! semalam melaporkan Khairy mempertikaikan keputusan FAM yang memberikan hak tuan rumah separuh akhir Piala FA kepada Pahang walaupun PBNP dilihat gagal menangani aspek keselamatan di Stadium Darul Makmur, Kuantan Selasa lalu.

Jelasnya, peruntukan tiket yang diagihkan sebanyak 60,000 memberi kelebihan kepada PBNP mengaut keuntungan besar meskipun didenda sebanyak RM100,000 atas kesalahan limpahan penonton di Stadium Darul Makmur Selasa lalu.

“Saya telah mengarahkan JKPT FAM meneliti dan mencari satu keputusan untuk mengadakan semula perlawanan tersebut selepas ia dibatalkan, Selasa lalu.

“Hasilnya, JKPT memutuskan ia diadakan di stadium berkecuali (Stadium Nasional).

”Jelas, ini bukan keputusan saya, kalau ikutkan saya, sudah tentu saya mahukan perlawanan ini kekal diadakan di Stadium Darul Makmur,” titah baginda.

- Kosmo

5 Responses to FAM patut lebih terbuka terima teguran - Khairy

  1. inilah bahana kalau sultan jadi ketua sesuatu organisasi. nak tegur pun tak bleh. Mohon setiap organisasi besar tidak diwakili oleh sultan.

    http://bankami.blogspot.com

  2. Khairi meme org bijak dan lincah dlm percakapan…..jgn makan gaji buta khairi…go go go !

  3. Mcm ni la menteri yang kita mahu…bukan hanya pandai tengok dan dengar. Kalau boleh bersihkan sekali kotoran2 dalam FAM tu sekali. Aku rindukan sorakan HM kat Bkt Jalil. Selagi FAM dikuasai oleh kroni2 pasukan tertentu HM akan makin mampus..pleaseeee!!!!!! FAM perlu rombakan dari A to Z.

  4. Tahniah…finally ada jugak yang mempunyai imuniti untuk menegur FAM…

  5. Rasanya sudah tiba Raja-Raja dan Sultan tidak terlibat secara langsung dalam sukan dan persatuan . Setiap Persatuan dan pertubuhan akan ada kontrovesi dan jika ini berlaku ia tidak elok untuk Institusi Raja raja. Mereka bolih terlibat sebagai Penaung dan juga penasihat tapi bukanya memengang jawatan Esekutif seperti President, Timbalan Presiden dsb. Mungkin Parlimen bolih menggubal undang2 untuk perkara ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>