Tunku Ismail mahu hanya satu pasukan Johor di Liga-M
JOHOR bekemungkinan besar akan hanya menghantar satu pasukan negeri sama ada untuk saingan Liga Super atau Liga Perdana tahun depan, kata Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang baru, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.
Baginda membayangkan kemungkinan itu selepas pelantikannya secara rasmi ke jawatan itu berikutan mesyuarat agung luar biasa PBNJ semalam, menggantikan Exco Belia dan Sukan Negeri, Jais Sarday.
“Saya tidak faham mengapa kita perlu membahagikan keupayaan kita. Kita sepatutnya mengembeleng semua kekuatan terhadap satu pasukan sahaja, dengan hanya satu pasukan negeri sahaja yang bertanding,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.
Ketika ini, cabaran Johor dalam saingan Liga Super musim ini diwakili oleh pasukan Johor FC, manakala cabarannya dalam Liga perdana pula adalah menerusi Johor dan Majlis Bandaraya Johor Baharu FC (MBJB) serta Majlis Perbandaran Muar (MP Muar).
Menurut baginda, sepatutnya pemain-pemain terbaik negeri hanya mewakili satu pasukan iaitu pasukan negeri Johor.
Baginda berkata kedudukan kewangan persatuan juga dapat diperkukuhkan apabila hanya satu pasukan yang terlibat dalam saingan Liga Malaysia.
Selain itu, katanya, jumlah kehadiran peminat ke stadium untuk menyaksikan perlawanan yang membabitkan pasukan negeri dapat dipertingkatkan, dengan kesetiaan rakyat Johor hanya terhadap pasukan negeri.
Tunku Mahkota Johor itu tidak mahu pasukan-pasukan bola sepak menjadi mangsa kepada kepentingan peribadi sesuatu pihak. -BERNAMA
Luahan Perasaan