Tok Gajah buru kelebihan jaringan di Larkin
“Semua pemain Pahang harus mencari seberapa banyak gol di Larkin malam esok (hari ini) sebagai bekalan selesa untuk menyingkirkan Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Piala FA 2013.” - pesan pengurus pasukan Pahang, Datuk Che Nasir Salleh.
Che Nasir berkata, anak buah Dollah Salleh harus memanfaatkan semua yang terhidang untuk menjaringkan gol ketika Pahang berdepan JDT pada separuh akhir pertama saingan Piala FA.
“Kita harus mencari gol di tempat lawan dan sekiranya menang dalam perlawanan tersebut ia merupakan satu bonus untuk kita menerima kunjungan skuad Harimau Selatan dalam perlawanan timbal balik di Kuantan Selasa nanti.
“Saya pasti perlawanan tersebut berlangsung dengan sengit kerana masing-masing ingin menang bagi mencerahkan peluang untuk layak ke perlawanan akhir,” katanya.
Menurutnya, semua pemain diingatkan tidak mudah putus asa sekiranya pihak lawan menjaringkan gol awal sebaliknya terus mempamerkan aksi mantap untuk memburu gol.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super, Pahang berjaya menewaskan JDT 3-2 di Kuantan pada 8 Januari lalu sebelum anak buah Fandi Ahmad mengecewakan Tok Gajah 1-0 di Larkin pada 19 April lalu.
Beliau memberitahu, semua pemain harus mempamerkan corak permainan mantap selain menurut segala arahan jurulatih dan tidak mudah leka dengan asakan lawan.
“Saya harap semua pemain dapat bermain dengan baik untuk mencabar JDT yang dibarisi ramai pemain berstatus bintang,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menyeru kepada penyokong Tok Gajah menjaga tingkah laku dan tidak menimbulkan provokasi supaya semuanya berjalan lancar.
“Saya juga harap peristiwa yang berlaku ketika pertemuan JDT dan Kelantan Rabu lalu tidak berulang kerana akan mengganggu rentak permainan,” kata beliau.
May 25, 2013 - 6:54 pm
nanti kita tengok sapa yg menang?