Warga kota yakin mampu sekat Red Giants
“KAMI yakin boleh tewaskan Selangor.”
Itu kata kapten Kuala Lumpur, Muhammad Shahrom Abdul Kalam yang optimis rakan sepasukannya mampu menjana kemenangan malam ini berdasarkan rekod pertemuan pusingan pertama Liga Super yang berkesudahan seri 1-1 ketika menentang pasukan kendalian K Devan itu.
Pertahanan Kuala Lumpur itu berkata, skuad warga kota menempuh nasib malang berikutan dua kekalahan berturut-turut ketika bertemu Kelantan dan Perak tetapi dia yakin moral rakan sepasukan tetap utuh untuk mencipta kejutan.
“Kami kalah kepada dua pasukan teratas yang hebat dan ini membuatkan moral rakan sepasukan menurun tetapi untuk bertemu Selangor esok (hari ini), saya rasa Kuala Lumpur mampu membuat kejutan kerana kali ini kami bermain di laman sendiri.
“Masa bertemu Selangor pada pusingan pertama, Mohd Safee Sali masih ada dan kami mencatat keputusan seri. Di atas kertas mungkin kelebihan memihak Selangor tetapi kami optimis mencapai kemenangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sekalipun skuad bimbingan Razip Ismail itu kini berada di tangga ke-12 dan merosot, Shahrom percaya pasukan itu mampu melonjak untuk berada di kedudukan lebih selesa berikutan jurang perbezaan mata yang terlalu kecil berbanding pasukan pertengahan liga lain.
“Kami tidak terlalu tertekan dan akan bermain sebaik mungkin biarpun ada pemain keletihan dan masih cedera,” katanya.
Luahan Perasaan