Menobat juara Liga Super 2011

Juara Liga Super bakal menerima RM500 ribu

Juara Liga Super 2011SAINGAN Liga Super bakal melabuhkan tirainya malam ini dengan penentuan pasukan mana yang bakal bergelar juara terpaksa ditentukan sehingga tiupan wisel penamat 90 minit perlawanan.

Tiga pasukan berstatus jagoan, dua daripadanya ialah negeri Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu sementara juara liga musim lalu, Selangor terpaksa menanti penuh sabar siapakah antara mereka yang berhak menjulang trofi kejuaraan seterusnya meraih wang tunai RM500,000 selaku bergelar juara.

Di atas kertas, kelebihan seolah-olah berpihak kepada pendahulu liga, Kelantan yang hanya sekadar memerlukan keputusan seri menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

Dengan mempunyai kelebihan dua mata mengatasi Selangor dan tiga mata mengatasi Terengganu, Kelantan tidak perlu bersusah payah untuk mengerah kudrat mencari tiga mata sebenarnya kerana keputusan seri sama ada 0-0, 1-1, mahupun 2-2 sudah cukup memadai buat anak buah Datuk M Karathu merangkul trofi kejuaraan pertama bagi mereka sejak ianya dipertandingkan tujuh tahun lalu.

Begitu pun, andai Kelantan tewas sekalipun, The Red Warriors masih mampu bergelar juara sekiranya pencabar terdekat, Selangor sekadar seri atau tewas kepada Perak.

Manakala Terengganu pula gagal mengalahkan KL Felda United FC dengan defisit sekurang-kurangnya enam gol.

Tugas sukar sebenarnya menanti Selangor untuk mempertahankan kejuaraan yang dimiliki mereka musim lalu, apabila perlu mengalahkan Perak dengan jaringan yang cukup besar iaitu 12 gol atau lebih sekiranya pertemuan Sabah dan Kelantan berkesudahan dengan keputusan seri.

Malah perkiraan matematik mudah juga membuktikan peluang masih ada bagi anak buah K Devan untuk mempertahankan kejuaraan dengan syarat perlu mengalahkan Perak, selain mengharapkan Kelantan dan Terengganu tersungkur kepada lawan masing-masing.

Ini bererti Selangor bakal mengutip mata maksima 54 mata, sementara Kelantan kekal 53 mata dan Terengganu 51 mata.

Namun situasi berbeza turut membayangi juara Piala FA yang baru, Terengganu yang berpeluang untuk memintas kedua-dua pasukan seterusnya muncul juara baru liga musim ini.

Perkiraannya cukup mudah betapa skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim perlu mengharapkan Kelantan tewas dengan defisit dua gol ke atas kepada Sabah, manakala Selangor seri atau kalah kepada Perak, sementara Terengganu perlu menang dengan defisit sekurang-kurangnya enam gol ke atas KL Felda United FC.

Menarik sungguh bola sepak Malaysia kerana penentuan juara Liga Super musim ini terpaksa ditentukan menerusi perlawanan terakhir liga.

Malah kadang-kala keputusan tidak terduga juga hadir mewarnai ketiga-tiga pasukan sebelum ini.

Kelantan pernah menewaskan KL Felda United FC 6-0, Selangor (5-1), Terengganu (3-0), namun dibelasah pula Perak 0-4.

Sementara, Selangor pernah menewaskan Perlis 7-1 dan Terengganu pula pernah mengalahkan Negeri Sembilan 3-0 dan Pahang 5-0.

Jadi, apakah mustahil pesta kenduri gol boleh berlaku dalam perlawanan terakhir ini? Sama-sama kita nantikan.

    Jadual Liga Super 6 Julai 2011:

  • Sabah vs Kelantan
  • Perak vs Selangor
  • Felda United vs Terengganu
  • Harimau Muda A vs Johor FC
  • Pahang vs Kedah
  • T-Team vs K.Lumpur
  • N.Sembilan vs Perlis

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>