Terengganu lepas peluang terajui takhta
JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim kurang berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan Selangor di Kuala Terengganu kelmarin yang menyebabkan peluang untuk memintas pendahulu Liga Super itu tidak menjadi kenyataan.
Kegagalan pemain memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perlawanan terutama di babak pertama membolehkan Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-42 melalui Safiq Rahim. [LIHAT VIDEO]
Irfan berkata, sepatutnya pemain memungut mata penuh di depan sokongan padu penyokong sendiri yang membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tetapi hanya satu mata mampu dikutip.
Memasukkan dua pemain gantian, Ahmad Nordin Alias dan Mohd Muhamin Omar untuk menyambung tugas Abdul Manaf Mamat dan Helmi Remeli menyuntik corak lebih bertenaga untuk mengasak kubu Selangor hinggalah Ismail Faruqi Ashaari menyamakan kedudukan.
“Ismail Faruqi sepatutnya menambahkan gol pada minit ke-78 jika tandukan pemain itu tidak dihalang pertahanan Selangor selepas penjaga golnya, Saiful Amar Sudar sudah tertewas,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Selangor K Devan memuji anak buahnya yang bermain dengan tenang dan dapat mencuri satu mata di Kuala Terengganu.
Katanya, barisan serangan Red Giants sepatutnya membunuh semangat tuan rumah lebih awal tetapi mensia-siakan dua peluang jaringan di babak pertama.
“Terengganu melipat gandakan asakan pada separuh masa kedua hingga menyebabkan pemain terpaksa bertahan tetapi akhirnya kami bolos juga. Namun saya tetap gembira kerana satu mata ini tetap meletakkan Selangor di depan,” katanya.
Luahan Perasaan