Piala Sumbangsih: Pahang sedia gempur Lions XII
Piala Sumbangsih 2014 Pahang vs Lions XII
PAHANG berazam memulakan musim 2014 dengan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.
Tampil selaku juara Piala Malaysia musim lalu, Pahang akan membuat perhitungan dengan juara Liga Super 2013, Lions XII pada perlawanan Sumbangsih yang dijadikan aksi pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Bagi kapten Pahang, Jalaluddin Jaafar, dia dan rakan-rakan sepasukannya telah menanam azam untuk menghadiahkan trofi sulung buat ribuan penyokong mereka nanti.
Pada masa sama, Jalaluddin mahu melengkapkan koleksi peribadinya dengan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah.
“Saya sudah menjulang trofi Liga Super pada 2004, Piala FA (2006) serta Piala Malaysia tahun lalu dan kini mahu membawa pulang Piala Sumbangsih pula.
“Pahang tidak harus melepaskan peluang ini kerana bukan senang untuk berentap merebut Piala Sumbangsih, apatah lagi kami berdepan pasukan dari Singapura itu,” katanya.
Menurut Jalaluddin, kejayaan mendakap Piala Sumbangsih juga boleh dijadikan sebagai hadiah hari lahirnya yang ke-39 pada 1 Januari lalu.
“Secara peribadi, saya sudah bersedia untuk menempuhi saingan Liga M musim ini dan rakan-rakan juga sudah tidak sabar untuk beraksi,” ujarnya.
Sementara itu, penjaga gol Pahang, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid tidak rela pintu golnya dibolosi dengan mudah pada pertemuan menentang Lions XII malam ini.
“Saya akan bekerja keras seperti aksi final Piala Malaysia tahun lepas agar gawang kami tidak dibolosi pasukan lawan nanti.
“Jika diberi peluang berada dalam kesebelasan utama, saya akan memastikan Pahang menjulang Piala Sumbangsih selain mengutip tiga mata penuh,” katanya.
Azhan memberitahu, pemain tengah Pahang pula harus bijak mengatur strategi agar jentera serangan yang diketuai Dickson Nwakaeme dan Matias Conti mampu mencipta peluang untuk menjaringkan gol.
“Apa yang penting adalah semua pemain harus mengetahui peranan masing-masing dan bermain dengan semangat satu pasukan selain mematuhi arahan jurulatih,” jelasnya.
Luahan Perasaan