Negeri Sembilan vs T-Team
Liga Super | 8 Februari 2012
Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi

KEKALAHAN dua perlawanan berturut-turut dalam pentas Liga Super sudah pasti membuatkan barisan T-Team semakin bernafsu untuk meraih kemenangan bertemu juara Piala Sumbangsih, Negeri Sembilan di Paroi, malam ini.

Jurulatih, Yunus Alif berkata, biarpun tanpa kelibat penyerang import, Zacharia Simukonda yang ditamatkan kontrak akibat kecederaan, skuad T-Team tetap bersemangat mencatat kemenangan ketiga selepas tewas kepada Terengganu dan Selangor.

“Selepas tumpas dua perlawanan terakhir, kini masa terbaik buat kami bangkit mengutip tiga mata penuh. Biarpun baru memasuki lima perlawanan, pemain perlu menang untuk memperbaiki kedudukan liga.

“Justeru, saya ingatkan pemain supaya segera melupakan episod tewas dua perlawanan terakhir dan membenam Negeri Sembilan untuk mengembalikan semula moral dan semangat peminat,” katanya.

Mengenai pemain import baru, Yunus berkata, dia masih buntu mencari penyerang bijak dan mampu mencipta jaringan bagi menggantikan tempat Simukonda.

Menurutnya, biarpun empat penyerang import datang mencuba nasib, tahap permainan mereka tidak mencapai sasaran ditetapkan.

T-Team sudah menguji empat pemain, Jamie Pheonix dari England, Tenema Ndiaye (Mali), Umaru Mustapha Suna (Siera Leone) dan Goran Kuljilas (Bosnia) tapi aksi mereka tidak memuaskan hati Yunus serta pengurusan pasukan.

Sementara itu, Jean-Emmanuel Effa Owona masih menjadi pemain import tunggal dalam barisan utama Negeri Sembilan selepas hajat skuad itu untuk mendapatkan khidmat pemain dari Brazil pada pertemuan dengan T-Team dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini tidak menjadi kenyataan.

Ini berikutan status Fernando Augusto de Abreu Ferreira, 27, yang diuji sebelum ini dikatakan belum disahkan, malah dikatakan tidak memenuhi kriteria pemain diperlukan pengurusan pasukan.

Sekalipun Negeri Sembilan amat mengharapkan seorang pemain import yang beraksi di posisi pertahanan bagi digandingkan dengan tonggak berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah tapi prestasi Abreu Fereira dikatakan belum cukup mantap untuk bersama skuad Hoben Jang Hoben.

Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah mengesahkan pemain itu belum disahkan dan tiada dalam senarai barisan yang diturunkan menentang T-Team, malam ini.

“Pemain import itu belum lagi diterima kerana kami perlu menguji beberapa lagi pemain lain yang benar-benar berwibawa. Pada perlawanan menentang T-Team, kami akan menggunakan pemain sedia ada dan mereka sudah bersedia menggalas cabaran,” katanya.

Mengulas lanjut persiapan menghadapi T-Team, pengendali berpengalaman itu masih menyandarkan harapan tinggi kepada Effa Owona untuk merealisasikan misi meraih tiga mata di halaman sendiri.

Selepas seri dengan Sarawak 2-2 pada perlawanan terakhir sebelum pertandingan berehat seketika minggu lalu, Azraai berharap anak buahnya bangkit dengan persembahan lebih mantap untuk memastikan sasaran kemenangan tercapai.

Beliau bagaimanapun tetap mengingatkan anak buahnya supaya lebih berhati-hati kerana T-Team tentunya mahu mengutip mata penuh selepas tewas dua perlawanan berturut-turut.

“Pemain Negeri Sembilan perlu waspada kerana pelawat mungkin memperoleh kekuatan baru dengan kehadiran pemain import mereka.

“Saya harap pemain berusaha memberikan persembahan terbaik dan memanfaatkan kelebihan demi mencapai kemenangan kerana ia amat penting bagi memastikan kedudukan pasukan dalam carta melonjak ke posisi lebih baik,” katanya.

Menurut Azraai lagi, beliau tidak akan membuat banyak perubahan dalam kesebelasan utama kecuali S Kunanlan yang tidak dapat diturunkan kerana kad merah, namun yakin perancangannya tidak terjejas kerana pemain yang ada diyakini mampu menggalas tugas dengan baik.

Negeri Sembilan vs T-Team 08.02.2012




coded by nessus

Main topics: Liga Super

Sub topics: , , , , , ,


Readers Comments (0)