Selangor sedia bangkit kembali

TIDAK sampai seminggu merampas takhta Liga Super daripada Kelantan, Selangor kembali menghuni tangga kedua liga setelah tewas 0-2 kepada T-Team di Stadium Shah Alam pada Sabtu lepas.

Namun jurulatih Selangor, K Devan yakin skuad Red Giants akan kembali bangkit untuk mengutip tiga mata penuh apabila turun bertemu Felda United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.

“Setelah tewas kepada T-Team, sudah tentu Selangor akan bangkit semula pada perlawanan selepas ini. Memang itulah sasaran kami,” kata Devan selepas perlawanan menentang T-Team.

Setelah sepakan penalti Razman Roslan diselamatkan penjaga gol T-Team, Syamsuri Mustafa pada minit ke-28, T-Team memperoleh jaringan pada babak kedua menerusi tandukan Norfarhan Muhammad dan rembatan Indra Putra Mahayuddin.

“Selangor berjaya menguasai perlawanan pada babak pertama dan memperolehi banyak peluang antaranya menerusi rembatan Safiq Rahim selain percubaan Rudie Ramli yang terkena palang gol.

“Tapi babak kedua, T-Team berjaya bangkit dan jaringan pertama Norfarhan itu telah memberikan mereka semangat. T-Team memang layak menang sementara Selangor kurang bernasib baik,” jelas Devan.

Ia merupakan kekalahan kedua Selangor musim ini setelah tewas dengan jaringan sama kepada Kelantan pada aksi pembukaan Liga Super, juga berlangsung di Stadium Shah Alam.

Peluang Selangor untuk kembali memintas Kelantan bergantung kepada keputusan perlawanan anak buah K Devan menentang Felda United sambil berharap skuad The Red Warriors tewas atau seri dengan Perak di Ipoh.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>