Selangor dibelenggu kecederaan

Selangor hanya mampu menarik sedikit nafas lega dengan kembalinya pemain tengah berpengalaman, Hardi Jaafar daripada penggantungan perlawanan Liga Super 2011.

Namun, beban kecederaan ramai tonggak masih belum terlepas daripada bahunya.

Seperti ketika diikat 1-1 di Terengganu, Sabtu lalu, Amirulhadi Zainal, Khairul Anuar Baharum dan Razman Roslan berkemungkinan besar terpaksa melupakan pula pertemuan berjiran Gergasi Merah dengan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam ini.

Malah, jika tahap kecergasan penyerang utama, Fadzli Saari dan Bunyamin Umar yang turut tercedera dan masih menimbulkan keraguan, hasrat jurulatih Merah Kuning, K. Devan memintas semula Kelantan di teraju liga, bakal terancam menerusi perlawanan ini.

“Daripada empat tonggak yang tiada di Kuala Terengganu lalu, hanya Hardi yang mungkin dapat kembali selepas digantung perlawanan namun lega saya tidak berpanjangan kerana Fadzli dan Bunyamin pula menyertai senarai pemain yang cedera sebelumnya,” katanya.

Selangor diikat 1-1 oleh Si Helang yang diterajui bekas pertahanan negara, Razip Ismail dalam perlawanan pusingan pertama Liga Super 2011 di Stadium Shah Alam pada 12 Februari lalu dengan Fadzli menjaringkan gol pendahuluan itu.

“Walau apa pun rintangannya, kami akan tetap cuba menurunkan barisan yang terbaik mungkin apabila berjumpa Kuala Lumpur kerana kami amat mengidamkan tiga mata dan sudah bertekad untuk tidak mencicirkan sebarang mata atau mengulangi kesilapan lalu.

“Menentang Kuala Lumpur juga penting bagi kami kerana jika dapat mengumpul keputusan baik daripada kelapan-lapan perlawanan sepanjang bulan ini, ia bakal mencorakkan peluang kami mempertahankan gelaran liga,” katanya.

Jika dibandingkan pendahulu liga, Kelantan yang mengunjungi Johor FC di Pasir Gudang, Selangor lebih berpeluang cerah kembali ke teraju tetapi masih perlu mengawasi pencabar di tempat ketiga, Terengganu yang melayani pasukan tercorot, Perlis.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>