Prebiu Liga Super 2011 Match #17
Negeri Sembilan vs Perak
(LIVE Astro Arena, 8.45 mlm)
SKUAD kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah tempang selepas beberapa tonggak utamanya dilanda kecederaan ketika berkunjung ke Cheras minggu lalu. Azraai berharap pasukannya fokus dan tidak mengulangi kesilapan sama ketika perlawanan menentang Felda United yang berkesudahan seri 2-2 minggu lalu, walaupun pada satu ketika mendahului pasukan tuan rumah 2-0.
Malam ini juga detik pembalasan buat Hobin Jang Hobin mengalahkan Kejor Yob Kejor selepas tewas pada pertemuan pusingan pertama pertengahan Februari lalu.
‘Perak mali talak sombong’! Namun, kunjungan anak buah Norizan Bakar ke Paroi malam ini dengan luka bernanah selepas dicederakan Sang Kenari di laman sendiri minggu lalu. Cikgu Jan perlu memastikan jentera serangan dan pertahanannya berfungsi dalam usaha membawa pulang tiga mata berharga ke Ipoh tercapai.
Johor FC vs Kelantan
(Stadium JCorp, Pasir Gudang)
KEMENANGAN besar 3-0 Johor FC ke atas Sabah memberi isyarat yang cukup jelas kepada peneraju takhta liga, Kelantan bahawa pertemuan menentang pasukan berstatus kelab di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam ini tidak boleh dipandang enteng.
Bagi Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui ranjau berduri menanti anak buahnya dalam usaha mempertahankan kedudukan di tangga teratas liga apatah lagi dua pencabar terdekat, Selangor dan Terengganu dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan lawan masing-masing.
Kuala Lumpur vs Selangor
(Stadium PBKL, Cheras)
ANAK buah Mohamed Razip Ismail perlu memanfaatkan aksi di di gelanggang sendiri malam ini. Satu lagi kekalahan pasti meresahkan skuad warga kota itu yang kini berada di tangga ketiga tercorot liga.
K Devan sudah pasti mahu barisan pemainnya fokus kerana perlu mengharungi lapan perlawanan bulan ini bermula dengan aksi menentang Kuala Lumpur, namun laluan Red Giants malam nanti penuh berliku apabila sebahagian besar tonggak utamanya mengalami kecederaan.
Terengganu vs Perlis
(Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah)
PENYU menanti kunjungan Singa Utara dengan harapan tinggi mahu mengutip tiga mata penuh sambil mengintai peluang untuk memintas dua pasukan teratas liga, Kelantan dan Selangor. Irfan Bakti sudah pasti tersenyum lebar andai dua pasukan berkenaan gagal memungut mata penuh di gelanggang lawan masing-masing.
Jurulatih baru Perlis, Janos Kreska perlu memotivasikan pemainnya agar mereka tidak pulang ke Kangar dengan tangan kosong. Apa pun masa semakin suntuk buat Perlis dan Kreskan memerlukan keajaiban untuk membawa Singa Utara keluar dari zon penyingkiran.
Kedah vs Sabah
(Stadium Darulaman, Alor Setar)
SENTUHAN pertama Wan Jamak Wan Hassan bersama skuad Kenari nyata menjadi apabila pasukan Kenari menjinakkan Seladang 3-1 di Ipoh minggu lalu. Wan Jamak yang satu ketika dulu pernah digelar ‘Mourinho Malaysia’ perlu memastikan anak buahnya mengutip mata penuh apabila melayani pasukan kedua tercorot liga.
Gary Philips perlu mencari ramuan kejayaan untuk memastikan pasukannya tidak pulang ke Kota Kinabalu tanpa sebarang mata. Sabah tidak boleh tewas lagi jika berhasrat ingin kekal di Liga Super musim depan.
Pahang vs Felda United
(Stadium Darul Makmur, Kuantan)
SKUAD bimbingan Dollah Salleh melayan kunjungan Felda United dengan harapan mata maksimum menjadi milik mereka. Sudah tentu kekalahan 1-2 di tangan anak buah E Elavarasan Februari lalu menjadi pedoman buat Tok Gajah untuk mempamerkan ‘gading’ sebenar lebih-lebih lagi memberi hadiah bermakna buat peminat setia mereka.
Prestasi semasa Felda United boleh diibaratkan sebagai yo-yo. Mereka memulakan kempen Liga Super musim ini dengan ‘fantastik’, namun tersekat ketika mahu menuju tahap ‘bombastik’. Elavarasan perlu bertukar menjadi pakar bedah buat seketika untuk menyiasat apakah penyakit yang melanda pasukannya.
Luahan Perasaan