Azraai: Usah gentar reputasi Kelantan
- Kelantan vs Negeri Sembilan
- Stadium Sultan Mohd Ke-IV Kota Bharu
- 7 Januari 2012, LIVE TV1 / Astro Arena 8.45 mlm
SEKALIPUN Kelantan tampil dengan reputasi besar selaku pasukan yang diperkuatkan dengan tiga pemain import, ia tidak meletakkan Negeri Sembilan dalam situasi bimbang menjelang pertembungan aksi pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga M) 2012, merebut Piala Sumbangsih, di Kota Bharu, 7 Januari ini.
Sebaliknya juara Piala Malaysia musim lalu itu bukan saja bersedia untuk berdepan segala rintangan, malah sudah menanam tekad untuk memberikan persembahan terbaik dalam misi mereka melakar kemenangan walaupun beraksi di gelanggang lawan
Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah, mengakui skuad The Red Warriors memiliki reputasi besar dari segi persiapan mereka menghadapi musim baru ini, dengan membariskan tiga pemain import, berbanding Negeri Sembilan yang menyandarkan harapan kepada sebahagiannya pemain muda.
Namun anak buahnya sudah sedia untuk memulakan cabaran dalam misi melakar kemenangan dan bakal mempertaruhkan gandingan penyerang utama, Mohd Firdaus Azizul dengan pemain import dari Cameroon, Jean Emmanauel Effa Owona.
“Saya akui Kelantan lebih berwibawa berbanding musim lalu, namun itu bukan bermakna Negeri Sembilan akan memberi laluan mudah.
“Walaupun kekuatan kita kali ini disandarkan kepada sebahagiannya pemain muda, kita masih ada beberapa pemain berpengalaman seperti Mohd Shukor Adan, Idris Karim, Norhafiz Zamani Misbah, Shahurain Abu Samah, S Kunanlan dan Mohd Farizal Marlias.
“Mereka adalah antara tonggak utama pasukan selain Effa Owona yang akan memastikan kemenangan dan saya berharap pemain dapat memberikan persembahan lebih cemerlang sebaik turun di Kota Bharu nanti,” kata Azraai semalam.
Pengendali berpengalaman itu yang sudah mengenal pasti pemain terbaik untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama, mengakui anak buahnya akan turun sebagai pasukan ‘underdog’ tetapi sudah mengingatkan setiap pemain supaya lebih berhat-hati untuk memastikan setiap perancangan membuahkan hasil.
Beliau mengakui lega dengan kemajuan pasukan apabila pemain menunjukkan komitmen tinggi sepanjang persiapan, malah prestasi mereka juga semakin meningkat, justeru beliau yakin pemain bakal menyerlahkan kemampuan masing-masing untuk melakar kejayaan sepertimana diharapkan. — Harian Metro
Luahan Perasaan