Kualiti padang jejas rentak
MALAYSIA layak ke pusingan kedua kelayakan Olimpik, namun jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee terkilan kerana ketajaman jentera serangan pasukannya tidak benar-benar teruji akibat permukaan padang yang teruk ketika menentang Pakistan di Lahore, kelmarin. [VIDEO]
Menurut Kim Swee, permukaan padang venue perlawanan di Stadium Punjab di Lahore, amat tidak berkualiti sehingga menjejaskan taktikal yang dirancang.
Akibatnya skuad negara gagal menambah jaringan apabila seri tanpa jaringan dalam perlawanan tersebut.
Malaysia layak ke pusingan kedua dengan agregat 2-0 hasil kemenangan dalam perlawanan pertama di Shah Alam.
“Amat payah untuk kami mencari rentak dalam keadaan padang yang teruk, kami sukar bermain seperti biasa, apatah lagi untuk menjaringkan gol.
“Taktikal yang dirancang langsung tidak menjadi, ini ditambah pula dengan aksi agresif Pakistan yang memburu gol awal.
“Pasukan lawan cuba memerangkap kami dengan hantaran bola tinggi.
“Walaupun gagal menambah gol, saya tetap berpuas hati dengan kejayaan layak ke pusingan kedua,” katanya.
Pada pusingan kedua nanti, Malaysia akan berdepan salah satu daripada 13 pasukan pilihan seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, Iran, Korea Utara, China, Arab Saudi, Syria, Bahrain, Uzbekistan, Iraq, Lebanon dan Vietnam yang mendapat bye pada pusingan pertama.
Undian akan berlangsung di Rumah AFC, Bukit Jalil pada 30 Mac ini dengan perlawanan pusingan kedua secara timbal balik pada 19 Jun dan 23 Jun.
Mengenai saingan pusingan kedua, Kim Swee meminta peminat supaya bersikap realistik mengenai peluang skuad negara untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Kejayaan kita mara ke pusingan kedua memang menggembirakan dan menambahkan keyakinan di kalangan para pemain.
“Namun saya meminta para peminat supaya rasional terhadap apa juga peluang kita pada pusingan kedua nanti kerana kita akan berdepan pasukan terkuat Asia seperti Australia, Jepun atau Korea Selatan,
”Saya hanya mampu menjanjikan persembahan terbaik apabila berdepan pasukan terkuat Asia pada pusingan kedua nanti,” katanya.
Utusan Malaysia
Luahan Perasaan