KELANTAN memulakan aksi pusingan kedua Liga Super 2011 dengan mencatat kemenangan bergaya selepas menjinakkan pasukan Singa Utara, Perlis 4-0 di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

Selepas menang besar 5-1 di Kangar, tiga hari lalu, Kelantan turun menentang pasukan sama dengan penuh keyakinan dan sukar diatasi pemain pasukan pelawat untuk sekali lagi berpesta gol, kali ini di depan peminat sendiri.

Penguasaan Kelantan bermula menerusi jaringan pemain skuad Piala Presiden, Muhammad Izwan Salahuddin menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang menerjah ke penjuru kiri gawang Perlis.

Sebaik babak kedua bersambung, Kelantan hanya memerlukan masa lima minit untuk menambah gol kedua menerusi penjaring terbanyak mereka, Norshahrul Idlan Talaha yang bijak memperdaya pertahanan pelawat.

Pemain gantian, Nizad Ayub menambah derita pasukan Singa Utara apabila menjaringkan gol ketiga Kelantan pada minit ke-69.

Walaupun mendahului 3-0, namun Kelantan meneruskan asakan ke kubu lawan dan hasilnya tidak mengecewakan penyokong setia Red Warriors apabila kapten pasukan, Mohd Badhri Radzi melengkapkan kemenangan bergaya Kelantan pada minit ke-73.

Kejayaan memungut tiga mata membolehkan Kelantan naik ke tangga kedua, sementara menanti keputusan perlawanan Terengganu-Perak malam esok.

Sementara itu dalam aksi yang berlangsung di Stadium PBKL Cheras, Kuala Lumpur dan Felda United terpaksa berpuashati dengan memungut satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa sebarang jaringan.




coded by nessus

Main topics: Liga Super

Sub topics: , , ,


Readers Comments (1)

  1. peminatkijang

    janganlah hanya belasah pasukan bawahan…buktikan yang kita boleh belasah pasukan hebat….buktikannya ketika berdepan selangor sabtu ini…

     Reply