Kelantan mahu kekal di persada

KELANTAN mahu meneruskan momentum kemenangan apabila berkunjung ke Stadium JCorp Pasir Gudang bertemu Johor FC dalam saingan Liga Super malam ini.

Turun selaku pasukan pilihan, The Red Warriors dijangka tidak berdepan laluan sukar dan rentak cemerlang yang ditunjukkan oleh pasukan bimbingan Datuk M. Karathu itu, pasti menghadirkan gerun kepada pihak lawan.

Namun, kemenangan bergaya skuad bimbingan Azuan Zain dalam perlawanan terakhir di gelanggang sendiri ketika menumbangkan Sabah 3-0, turut mengundang resah kepada Karathu.

Menurutnya, Kelantan tiada pilihan selain mencatatkan kemenangan jika mahu terus menerajui puncak liga sambil mengharapkan seteru utama, Selangor seri atau kecundang.

Biarpun pernah menumbangkan Johor FC dalam dua perlawanan sebelum ini termasuk dalam saingan Piala FA, Karathu tetap enggan mendabik dada dan mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak mengambil mudah perlawanan malam tersebut.

“Walaupun kita pernah menang sebelum ini, namun ia tidak boleh dijadikan sebagai ukuran. Kejayaan menewaskan Sabah tempoh hari pasti memberikan semangat yang tinggi buat mereka untuk menumbangkan kita dalam perlawanan ini.

“Saya harap barisan pemain dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam perlawanan dan bermain sebagai satu pasukan. Ini penting jika kita mahu membawa pulang tiga mata,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambahnya, beliau akan mempertaruhkan barisan terbaik dalam pertembungan tersebut bagi memastikan kemenangan memihak kepada Kelantan.

“Saya pasti mereka akan menggunakan formasi 3-5-2, jadi kita kena beri perhatian. Ketika aksi di Kota Bharu dulu mereka terlebih dahulu menjaringkan gol tetapi kita berjaya bangkit dengan kemenangan 4-1.

“Oleh itu, kita kena rangka satu strategi yang terbaik dalam perlawanan ini jika tidak mahu berputih mata,” ujarnya.

Related Posts

One Response to Kelantan mahu kekal di persada

  1. Strategi terbaik untuk keputusan yg terbaik. Gomo kelate gomo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>