Kelantan kenduri gol, rampas takhta liga
ENAM perlawanan Liga Super malam tadi menyaksikan Kelantan kembali merampas kedudukan teratas Carta Liga Super selepas membelasah Felda United 6-0 di Stadium Sultan Mohd Ke-IV Kota Bharu.
Selepas penguasaan mereka digugat Selangor empat hari lalu, Kelantan tidak perlu menunggu lama untuk kembali menerajui saingan Liga Super apabila pasukan Red Giants itu tewas mengejut 0-2 kepada T-Team di Stadium Shah Alam.
Manakala satu lagi pasukan pencabar, Perak turut menerima kejutan apabila tumpas 1-2 kepada tuan rumah, Sabah di Stadium Likas.
Beraksi di laman sendiri, anak buah M Karathu membuka jaringan awal menerusi rembatan cantik Syakir Shaari dari luar kotak penalti selepas setengah jam perlawanan berlangsung.
Dua minit sebelum babak pertama berakhir, Stadium Sultan Mohd Ke-IV sekali lagi bergema dengan sorakan penyokong tuan rumah apabila Norshahrul Idlan Talaha berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas S Chanturu dijatuhkan dalam kawasan bahaya.
Kelantan menambah empat lagi gol di babak kedua menerusi jaringan Nizad Ayub pada minit ke-60 dan 73, disusuli sepakan percuma Danial Fadly Abdullah yang menerjah gawang pelawat minit ke-84 sebelum Azuan Solahudin melengkapkan kemenangan besar Kelantan pada minit akhir perlawanan.
Kelantan akan bertemu Perak, Selasa ini yang akan disiar secara langsung menerusi Astro Arena.
Luahan Perasaan