Kedah tolak Marlon, Nelson San Martin
IMPIAN peminat Kedah melihat kelibat dua pemain import yang pernah menyarung jersi hijau kuning – Marlon Alex James dan Nelson San Martin – tidak kesampaian apabila mereka disahkan tidak akan menyarung jersi pasukan berkenaan.
Jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan berkata kedua-duanya tidak dipilih Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) disebabkan faktor usia dan berdepan risiko kecederaan.
“Umur mereka sudah melebihi 30 tahun dan jika tercedera ia mungkin mengambil masa satu hingga dua bulan untuk pulih. Nyata ia akan merugikan KFA,” katanya ketika dihubungi, semalam.
“Saya harap peminat lupakan Marlon dan Nelson kerana saya mahu pemain import yang akan bermain untuk semua 56 perlawanan tahun depan membabitkan Piala AFC, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia,” katanya.
Marlon, 35, dan Nelson, 31, yang menyertai Kedah pada 2006 hingga 2008 adalah bekas tonggak utama membantu pasukan itu muncul juara tiga piala (Kejohanan Liga, Piala FA dan Piala Malaysia) dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.
Antara nama pemain import yang disebut-sebut bakal menyertai pasukan Kedah tahun depan ialah Daniel Soares Neves yang pernah bermain untuk pasukan bola sepak Rio Claro, Brazil.
Pada perlawanan di Stadium Darulaman, malam tadi pasukan Liga Super Kedah mengalahkan pasukan pilihan import 3-1. — Berita Harian
Luahan Perasaan