SAIFUL Amar Sudar akan terus diberi kepercayaan menjaga gawang Selangor pada aksi terakhir pusingan pertama Liga Super menentang Sabah di Stadium Shah Alam malam ini.
Pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan berkata, aksi cemerlang Amar yang tidak dibolosi sepanjang dua aksi bertemu Felda United dan Perak menambah keyakinannya mempertaruhkan pemain berusia 29 tahun itu.
“Saya semakin yakin dan percaya kepada Amar. Saya akan terus turunkan dia lagi untuk perlawanan bertemu Sabah kerana keyakinan penting bagi seseorang penjaga gol,” kata Devan.
Sebaik saingan musim ini bermula, Amar hanya bertindak sebagai penjaga gol simpanan Selangor memandangkan posisi penjaga gol utama diberikan kepada Iqbal Suhaimi.
Namun aksi goyah Iqbal, 27, yang melepaskan gol mudah ketika bertemu Harimau Muda A dan T-Team menyebabkan Devan mula menurunkan Amar dalam kesebelasan utama ketika bertemu Felda United, Selasa lalu.
Sementara itu, bagi Amar sendiri, dia tidak pernah berasa putus asa apabila diletakkan di bangku simpanan sepanjang 10 perlawanan pertama liga musim ini.
“Apabila berada di bangku simpanan, saya sentiasa menyiapkan diri dan menunggu masa saja untuk diturunkan. Saya sentiasa dalam keadaan bersedia.
“Jadi apabila mendapat kepercayaan jurulatih, saya bertekad mempamerkan aksi terbaik dan akan cuba mempertingkatkan lagi persembahan,” kata bekas penjaga gol Kuala Lumpur dan PKNS FC itu.
Namun Amar tetap mahu berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukannya, terutamanya barisan pertahanan diketuai Khairul Anuar Baharum dan Nasriq Baharom yang banyak membantu ketika menahan asakan Perak.
“Kejayaan mempertahankan gawang ini bukan hasil usaha seorang kerana rakan-rakan pertahanan turut membantu memastikan penyerang Perak tidak mendapat ruang melakukan percubaan.
“Apa pun kami akan terus beraksi sebagai satu pasukan untuk memastikan tiga lagi mata penuh diraih ketika bertemu Sabah,” jelas Amar yang menjadi penjaga gol skuad B-23 negara pada Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina. — KOSMO
Related posts
- Selangor hampiri kejuaraan, Kelantan belum mengalah
- Video Gol Leonel Nunez - Selangor 1-2 Johor Darul Takzim - Piala FA 2013
- Video: Selangor 1-0 Sabah
- Video Selangor 1-1 Lions XII [Liga Super 2012]
- NS terdesak buru tiga mata
- Video Selangor 3-2 Pahang Liga Super 2013
- Penggantungan Doe: Maaf Peteh, kami sibuk - FAM
- Safiq Rahim sertai Johor FC, gaji RM50 ribu
- Menobat juara Liga Super 2011
- Piala Malaysia 2011: T-Team vs Selangor Live Astro Arena
Main topics: Liga Super
Sub topics: Liga Malaysia, Liga Super 2011, Saiful Amar Sudar, Selangor