Irfan tidak resah hilang pemain ‘bintang’
KETIADAAN beberapa pemain bintang Selangor musim depan sedikitpun tidak meresahkan hati pengendali baharu pasukan itu, Irfan Bakti Abu Salim.
Meskipun terpaksa memulakan tugas tanpa kehadiran beberapa pemain ternama seperti Hardi Jaafar, Khairul Anuar Baharom, D. Surendran termasuk Fadzli Saari dan Rudie Ramli yang minta dilepaskan, Irfan Bakti tetap enggan melatah.
Sebaliknya, pengendali berusia 60 tahun dari Kota Bharu, Kelantan itu tetap menaruh keyakinan terhadap pemain sedia ada termasuk kapten pasukan, Amri Yahyah.
Pemain-pemain berkualiti lain seperti Safiq Rahim, Amirul Hadi Zainal, Asraruddin Putra Omar dan Nasriq Baharom juga disifatkan Irfan, mampu menterjemahkan setiap strategi beliau bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Selain itu, kehadiran tonggak import seperti ketua pasukan kebangsaan Lebanon, Ramez Bayoub yang dijangka bakal mengemudi benteng pertahanan Gergasi Merah serta beberapa muka baharu pemain tempatan juga katanya, mampu ‘menghilangkan rasa rindu’ terhadap pemain bintang Selangor yang berhijrah musim depan.
“Yang pergi biarkan pergi, saya yakin kekosongan yang ditinggalkan mereka mampu diisi pemain sedia ada, selain kehadiran beberapa muka baharu termasuk pemain import juga pasti mampu menghadirkan sesuatu buat Selangor (musim depan),” katanya.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan kenyataan pengurus Selangor, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang mengesahkan kehadiran Irfan Bakti yang akan membimbing Selangor bagi musim depan.
Antara muka baharu yang menyertai Merah Kuning pada musim depan termasuk penjaga gol Universiti Sains Malaysia, G. Jeevanathan; pemain tengah Kelantan, K. Soley dan pemain Felda United, Mohd. Hasmarul Fadzir Hassan.
Selain itu, pemain lama yang kekal bersama Selangor termasuk P. Gunalan, Azidan Sarudin, Mohd. Fitri Shazwan Raduwan, Mohd. Razman Roslan dan Bunyamin Omar.
Meskipun mengakui ‘mengintai’ beberapa pemain baharu termasuk bekas pemain yang pernah beraksi bersama Selangor sebelum ini, Irfan begitupun enggan mendedahkan nama pemain tersebut atas alasan ia masih di peringkat perbincangan.
“Mengenai kontrak, buat masa ini masih belum ada kata putus mengenai tempoh perkhidmatan saya bersama Selangor kerana kami masih membincangkan perkara itu.
“Saya juga rasanya tidak menyertai latihan pertama bersama kem Selangor hari ini (semalam) memandangkan kontrak saya hanya bermula pada 1 Disember depan, justeru tidak manis jika saya muncul awal.
“Sebaliknya, saya lebih suka menyifatkan pertemuan pertama saya bersama pemain Selangor sebagai proses suaikenal antara saya dan pemain bagi mengenali hati budi masing-masing,” katanya. — Kosmo
November 25, 2011 - 9:44 pm
Teringat saat2 akhirnya bersama team terengganu. betapa besar bakti yg diberikan. kami sayang irfan bakti!! terima kasih kerana membawa team kami ke final.